Isnin, 8 Oktober 2012

Kes saman RM3.2 juta Ras Adiba digugurkan


PETALING JAYA— Personaliti televisyen, Ras Adiba Mohd Radzi terlepas daripada berhadapan saman RM3.2 juta selepas kes tersebut digugurkan oleh pihak plaintif dalam sesi pendengaran pada hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut peguam Datuk Mohd Haziq Pillay yang mewakili Ras Adiba, pengguguran tersebut dilakukan atas persetujuan bersama antara pihak plaintif Nik Fauzi Nik Fauzi yang memfailkan writ saman tersebut pada 3 Mei lepas.

“Ia satu keputusan yang mengejutkan tapi ia adalah satu berita baik untuk Ras Adiba.
“Keputusan ini dicapai secara persetujuan bersama dan diumumkan dihadapan Hakim Nallini Pathmanathan pada sesi pagi tadi,” kata Mohd Haziq.

Dalam perkembangan lain, Mohd Haziq juga menyatakan Ras Adiba bersama Nik Fauzi akan menjadi plaintif untuk mendakwa satu lagi pihak yang menjadi punca kepada kerugian yang dialami oleh syarikat Inki Plas Holding Sdn Bhd.

Maklumat mengenai pihak ketiga tersebut tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih dijalankan dan sehinggalah jumlah kerugian sebenar sudah ditentukan barulah ia akan didedahkan, kata peguam Ras Adiba itu lagi.

Tiada ulasan: