Rabu, 24 Oktober 2012

Kerajaan tidak cadang kaji semula duti eksais kereta import, kenderaan keluaran tempatan, kata Mustapa

THE MALAYSIAN INSIDER

Pekerja Proton sedang memasang kenderaan di kilang Proton, Batu Tiga di Shah Alam. – Gambar fail
 
KUALA LUMPUR— Kerajaan tidak bercadang mengkaji semula duti eksais bagi kereta import mahu pun kenderaan keluaran tempatan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pengurangan duti eksais secara mendadak akan memberi kesan yang signifikan ke atas hasil kerajaan yang kini dianggarkan berjumlah RM7 bilion setahun serta pembangunan keseluruhan industri automotif tempatan.

"Kerajaan sedar bahawa industri automotif tempatan perlu dimajukan lagi supaya ia menjadi industri yang lebih berdaya saing dan seterusnya dapat memberikan faedah kepada rakyat, terutamanya dalam menawarkan kenderaan dengan harga yang berpatutan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin ingin tahu komponen utama dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2012 yang kini sedang disemak semula dan apakah kerajaan bercadang mengurangkan duti eksais kenderaan negara ini.

Mustapa berkata kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif penting melalui NAP 2012 bagi menangani penurunan harga jualan kenderaan.

Inisiatif itu adalah mewujudkan dalam industri automotif tempatan menerusi pengenalan lebih banyak model kenderaan dalam segmen yang sama, meliberalisasikan industri automotif tempatan menerusi pemberian Lesen Pengilang baharu bagi semua segmen kenderaan dalam kategori Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Selain itu, kerajaan akan merangka strategi yang komprehensif yang turut merangkumi pelan hala tuju bagi mengawal selia penurunan harga kereta secara berperingkat dan menubuhkan Majlis Automotif Negara (NAC) yang diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Ekonomi bagi memantau pelaksanaan NAP secara menyeluruh.

"Walau pun harga jualan kenderaan di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara jiran, setelah mengambil kira kos seperti insurans, cukai jalan dan harga minyak yang di subsidi kerajaan, harga pemilikan kenderaan di Malaysia sebenarnya adalah lebih rendah berbanding kebanyakan negara jiran," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata walau pun kerajaan tidak bercadang untuk menurunkan struktur duti eksais kenderaan, beberapa syarikat pengeluar kenderaan tempatan melalui konsultasi dengan kerajaan telah komited untuk menurunkan harga jualan kenderaannya.

Katanya, sebagai contoh Perodua melalui program "What's up Graduate" dengan bayaran bulanan yang rendah, diskaun sebanyak 50 peratus bagi kos penyelenggaraan selama dua tahun, insentif insurans dan lesen memandu percuma.

Syarikat lain seperti Honda, Volkswagen, Chevrolet dan Ford turut mengambil bahagian dengan memberi tawaran penurunan harga melalui pelbagai skim lain.

"Saya difahamkan bahawa terdapat syarikat yang telah pun dan beberapa lagi yang bercadang untuk membuat pengumuman insentif untuk memastikan rakyat menikmati harga kereta yang lebih murah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata dasar dan langkah dalam kajian semula NAP 2012 tidak akan dilaksanakan dengan tergesa-gesa tetapi akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Katanya, peringkat pertama pelaksanaan NAP 2012 telah dilaksanakan mulai Jun 2012 dengan memberi keutamaan kepada pelaburan yang disasarkan kepada kenderaan segmen EEV dan dalam pada masa yang sama perundingan dengan beberapa syarikat pengeluar kenderaan sedang dijalankan untuk dipertimbangkan insentif yang serupa. — Bernama

Tiada ulasan: