Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyelar kelewatan polis menyiasat kes serangan ahli Perkasa terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah maghrib di Seberang Pumpong, Alor Setar, awal September lalu.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoal kegagalan polis menyiasat kes sekecil itu walaupun mengetahui suspek yang terlibat.
“Kita sudah melalui siasatan, tetapi malangnya tiada maklum balas mengenai hasil siasatan. Kes ini bukan kes besar hingga memerlukan masa terlalu lama untuk diselesaikan,” katanya ketika dihubungi.
Keadilan Daily sebelum ini melaporkan, sekumpulan ahli Perkasa bertindak ganas menyerang Ketua Umum KEADILAN itu ketika menyampaikan tazkirah maghrib di Masjid Al-Hussain.
Samseng tersebut bertindak memadam lampu masjid dan alat pembesar suara selain kata-kata kesat serta membaling kasut ke arah Anwar ketika beliau menyampaikan kuliah maghrib.
Shamsul berkata, sikap dwi standard polis semakin terserlah apabila samseng yang menyerang pemimpin Umno BN diburu polis, tetapi serangan ke atas pemimpin Pakatan dibiar bebas.
Katanya, polis perlu lebih profesional, bukan seperti lembu dicucuk hidung dan menjadi alat kepada rejim pemerintah.
Justeru, beliau mendesak polis segerakan siasatan dan mengumumkan hasilnya kepada rakyat.
Jika polis gagal menyelesaikan siasatan itu, Shamsul berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.
“Kita sedang merangka draf untuk menyaman atau membuat semakan kehakiman. Kita sudah mengumpul peguam untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan Persekutuan berikutan gangguan terhadap program Merdeka Rakyat.
“Kita beri polis sedikit masa sahaja lagi…kalau mereka gagal, kita terpaksa teruskan untuk membawa kes ini ke mahkamah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan