Dua maahad tahfiz yang menerima sumbangan ialah Madrasah Al-Huda yang menempatkan 50 murid berusia tujuh hingga 12 tahun dan Madrasah Al-Ikhwan yang menempatkan 200 pelajar berusia tujuh hingga 30 tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sumbangan itu bertepatan prinsip Membela Nasib, Membina Harapan yang menjadi objektif utama program Karangkraf Peduli Duafa di samping program CSR Karangkraf yang lain seperti Karangkraf Peduli Jujur, Karangkraf Peduli Alam, Karangkraf Peduli Muafakat dan Karangkraf Peduli Iqra.
“Ini salah satu program CSR yang dibentuk oleh Karangkraf di mana objektif utamanya membantu mereka kurang bernasib baik. Program ini berjalan sepanjang tahun dan tidak hanya terhenti atau tertumpu untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja,” katanya.
Menurutnya, dana yang diperuntukkan untuk menjalankan CSR ini akan bertambah setiap tahun bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dan kehidupan mereka yang kurang bernasib baik terbela.
“Setiap tahun dana kita akan ditambah. Insya-ALLAH, dana yang kita kumpulkan untuk menjalankan CSR di bawah Yayasan Nur-Karangkraf pada tahun depan dijangka akan ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada RM1 juta berbanding dana yang diperuntukkan untuk tahun ini sebanyak RM400,000 hingga RM500,000.
“Di samping merealisasikan CSR, program begini juga memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan kakitangan syarikat sendiri sekali gus dapat disemai menjadi budaya,” katanya.
Semalam, seramai 171 orang terdiri daripada pelajar tahfiz, anak yatim, orang kurang berkemampuan dan orang kurang upaya sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus dipilih untuk menyertai program Back to School
yang dianjurkan Yayasan Nur-Karangkraf.
Dalam program berkenaan, kesemua mereka dibawa untuk membeli barangan keperluan persekolahan di Kedai Kasut You, Kedai Devadas dan Kedai Mohd Salleh sebelum ke D’Muara Liveseafood untuk menjamu selera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan