Selasa, 23 Oktober 2012

Kabel voltan tinggi: MCA berbohong

Harakahdaily,

(Kami tidak pernah luluskan, ia diluluskan semasa kerajaan BN iaitu ketika MCA memerintah Selangor bersama Umno)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat tidak pernah memberi kelulusan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meneruskan Projek Pembinaan Kabel berkuasa tinggi sehingga hari ini.

Projek ini sebenarnya telah diluluskan oleh Kerajaan Selangor Barisan Nasional pada 2007.

“Oleh itu, MCA tidak berkelayakan untuk mengadu sekarang. Kenapa mereka tidak menyuarakan semasa mereka memegang kuasa masa itu?” kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, sebaik saja menerima bantahan dan aduan daripada penduduk setempat tentang pembinaan ini pada tahun 2010, beliau telah mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar tidak memberi apa-apa kelulusan pembinaan kepada TNB sehingga pihak TNB memberikan cadangan lain.

Tetapi malangnya, TNB baru-baru ini telah mula meneruskan kembali pembinaan bertumpu hanya di kawasan Taman Connaught, Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala di Selangor pembinaan tidak diteruskan.

"Justeru, tuduhan MCA Bandar Tun Razak pada 17 Oktober yang mendakwa bahawa saya dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memberi kelulusan kepada TNB untuk membina kabel ini merentasi beberapa kawasan di Cheras di Negeri Selangor dan Taman Connaught di Kuala Lumpur, adalah tidak benar.

"Saya akan mencadangkan TNB dan DBKL untuk bertemu dengan penduduk Bandar Tun Razak dalam tempoh 2 minggu ini untuk mencari jalan bagi menyelesaikan perkara ini untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Selaku Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, kata Khalid, beliau menyokong penuh projek-projek pembangunan untuk keselesaan rakyat pada masa hadapan tetapi ia perlu dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira pandangan dan ketidakselesaan rakyat yang bimbang keselamatan dan kesihatan mereka terjejas akibat projek ini.

Tiada ulasan: