Sabtu, 20 Oktober 2012

‘Jumpalah peniaga kalau tidak mahu jumpa kami’

 
Nurul gesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal berkompromi demi kebaikan bersama. 



KUALA LUMPUR:Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib digesa agar lebih prihatin dan berbincang dengan golongan peniaga di Brickfields.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak sepatutnya mengambil tindakan keras. Siapa mahu berniaga begini?

“Ahmad Phesal telah memulakan tugas beliau dengan langkah yang salah. Beliau sepatutnya lebih mesra. Jumpalah mereka jika tidak mahu jumpa kami sekalipun,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam satu sidang media di Brickfields bersama Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan golongan peniaga.

Beliau berkata begitu berikutan tindakan DBKL yang melarang peniaga mendirikan khemah niaga di hadapan premis perniagaan mereka sempena perayaan hari Deepavali tidak lama lagi.

Selain itu, DBKL telah memperkenalkan sistem undi langsung untuk memperuntukkan kawasan gerai niaga.

“Selalunya para penjaja dan peniaga berniaga di Jalan Ah Tong tapi sekarang terpaksa pindah ke Jalan Berhala,” tambahnya.

Menurut Nurul, para peniaga juga marah dengan prosedur undi langsung tersebut.

“Ia dijalankan tanpa kajian dan tanpa mekanisme. Sepatutnya peniaga turut dirujuk kerana mereka pihak yang berkepentingan,” katanya lagi.

Setakat ini 90 peratus peniaga telah bertindak memulaukan pelaksanaan sistem undi langsung untuk mendapatkan ruang niaga.

Menurut peniaga K Krishnakumar yang berniaga di restoran Seetharam, satu perjumpaan DBKL dengan peniaga berlangsung dua minggu lalu.

`Notis kurang sebulan’


“Mereka melarang kita mempamerkan barang jualan sempena hari Deepavali di atas alasan kaki lima ialah tempat awam

.

“Tempoh notis yang diberi juga kurang dari sebulan,” kata beliau.

Tindakan DBKL memberikan kontrak khemah kepada pihak luar juga dikritik oleh peniaga kerana menyumbang kepada peningkatan kos.

“Kenapa tidak letak khemah DBKL sendiri seperti di Jalan Masjid India?” Krishna menyoal.
Menurutnya khemah kontraktor bernilai antara RM1500 hingga RM3000 berbanding dengan harga yang dikenakan ke atas pemilik perniagaan di Brickfields.

DBKL juga telah meletakkan papan tanda yang melarang peniaga berniaga di sepanjang Jalan Ah Tong.
Semua pemilik perniagaan ini bernaung di bawah Persatuan Komuniti dan Perniagaan Brickfields.
Mereka turut disokong Jawatankuasa Bertindak Little India.

Sementara itu, Fong Kui Lun menyatakan  beliau akan membangkitkan isu para peniaga ini pada minggu depan di dalam sidang Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: