Khamis, 11 Oktober 2012

Jumpa Soros boleh, jumpa pelajar tak mahu

Abdul Aziz Mustafa,   

KUALA LUMPUR: PAS mempersoal sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin BN lain yang enggan bertemu dengan aktivis dan pelajar sekolah agama rakyat (SAR) yang datang ke parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, berkata amat malang apabila seorang Perdana Menteri lebih sanggup bertemu George Soros berbanding para pelajar sekolah agama yang juga rakyat sendiri.

"Kalau Najib dilaporkan sanggup memperuntukkan masanya untuk bertemu Soros di New York, mengapa tidak boleh jumpa aktivis dan pelajar tersebut?

"Aktivis dan pelajar itu sudah datang ke hadapan Parlimen dan tidak perlu ke tempat-tempat mereka untuk berjumpa, mengapa tidak ada seorang pun pemimpin Umno BN yang turun bertemu mereka?" Salahuddin mempersoalkan.

Pagi tadi dianggarkan hampir 1,000 aktivis dan pelajar SAR berhimpun di hadapan bangunan Parlimen untuk menuntut peruntukan kepada sekolah mereka dalam Belanjawan 2013.

Mereka turut menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Salahuddin.

Salahuddin menyifatkan apa yang berlaku itu menceritakan dengan jelas tentang perbezaan layanan kerajaan Umno BN kepada rakyat berbanding dengan layanan kepada Soros.

Malaysiakini hari ini melaporkan, Najib telah mengadakan pertemuan peribadi dengan Soros kira-kira dua tahun lalu.

Menurut portal berita itu, pertemuan Najib-Soros itu telah disahkan dengan satu sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenainya.

Pertemuan Perdana Menteri dengan Soros yang dituduh membiayai NGO Malaysia untuk perubahan rejim, berlaku pada 27 September 2010 lalu, lapor Malaysiakini.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PM Najib sentiasa terbuka untuk berjumpa dengan sesiapa pun tapi bergantung la dengan keadaan masa.

Tanpa Nama berkata...

PAS saja mahu menghasut rakyat