Jumaat, 26 Oktober 2012

Himpunan ‘Selamatkan Batu Caves’ bantah pembinaan kondo dihadiri Samy Vellu

TERKINI

Sebahagian perhimpunan 'Selamatkan Batu Caves'.
 
KUALA LUMPUR,— Ratusan penganut agama Hindu dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) menyertai himpunan di perkarangan Batu Caves bagi menyatakan bantahan ke atas pembinaan kondominium yang terletak di sebelah kuil tersebut yang dikatakan akan memberi ancaman kepada alam semulajadi  bukit.
 Bekas menteri kerja raya, Datuk Seri Samy Vellu yang hadir atas jemputan pihak jawatankuasa kuil turut sama menyertai himpunan tersebut dan memberikan ucapan dihadapan kira-kira 300 orang ramai yang hadir pada pagi ini.

Dalam ucapannya, Samy (gambar) menjelaskan bahawa kerja-kerja pembinaan kondominium tersebut telah dilakukan tanpa kajian dan tidak merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab sambil berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Pembinaan yang dilakukan ini adalah tidak teliti dan tanpa kajian yang menyeluruh dengan merujuk pihak-pihak yang sepatutnya,” kata Samy.

“Malahan MPS sendiri tidak pernah menemui jawatankuasa kuil untuk berbincang atau memaklumkan tentang projek tersebut.”

Presiden jawatankuasa kuil Mahamariamman Batu Caves, Datuk R. Nadarajah, yang mengetuai himpunan tersebut juga bertindak membidas dan menyelar kerajaan negeri Selangor yang lepas tangan dalam membiarkan kelulusan projek tersebut diberikan kepada pemaju menerusi majlis perbandaran yang terlibat dalam memberikan kelulusan merancang.

Meskipun kerajaan Selangor mendakwa kelulusan kepada Dolomite Properties Sdn Bhd telah diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2007, bekas ahli majlis MPS A. Kohillan Pillay yang turut hadir dalam perhimpuan mengakui perkara tersebut sememangnya berlaku tetapi menafikan memberikan kelulusan kepada pemaju untuk membangunkan kawasan itu.

“Memang saya mengetahui tentang projek tersebut sejak 2007 tetapi ketika itu MPS hanya meluluskan “Kebenaran merancang bagi cadangan pembangunan perdagangan di atas Lot 622.”

“Tetapi ia bukan kelulusan untuk ‘Rancangan Pembangunan’ dengan tujuan membina kondo 29 tingkat,” kata pemimpin Gerakan tersebut.

Kohillan turut berkata kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor seharusnya bertanggungjawab ke atas perkara tersebut memandangkan mereka adalah pihak yang mentadbir sekarang ini serta mendakwa memiliki bidang kuasa untuk memberikan kelulusan serta menarik balik projek kondo tersebut.

Ahli exco kerajaan negeri, Ronnie Liu baru-baru ini telah mengadakan satu lawatan ke tapak projek berkenaan dan mengeluarkan kenyataan mendakwa kerajaan BN yang beertanggungjawab memberikan kelulusan awal kepada pemaju Dolomite.

“Kami juga mengetahui Jabatan Geo-Sains dan Mineral turut memberikan kelulusan ke atas projek tersebut selepas menjalankan kajian ke atas tanah berhampiran kuil,” kata Liu semasa bermesyuarat dengan jawatankuasa kuil, MPS dan pemaju baru-baru ini.

Selain itu, seorang lagi ahli exco turut mengeluarkan kenyataan mengenai rancangan pembinaan projek tersebut dan menegaskan kerajaan negeri tidak akan menuruti permintaan jawatankuasa kuil tersebut.

Dalam pada itu, presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel telah menggesa menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menghentikan projek kondo 29 tingkat tersebut kerana bimbang ia akan memberikan kesan buruk kepada struktur bukit tersebut serta berisiko tinggi memandangkan kawasan itu adalah terdiri daripada batu kapur.

Tiada ulasan: