KUALA LUMPUR : Pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) tidak perlu bimbang berhubung gaji minima RM1,100 yang dicadang Pakatan Rakyat(PR) dalam belanjawan alternatifnya baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan, PR sudah bersedia untuk melaksanaan cadangan berkenaan yang akhirnya akan memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
Isu ini timbul apabila pengusaha IKS bimbang kemeruduman pendapatan jika dasar berkenaan dilaksana PR bila mentadbir Putrajaya nanti.
Menurutnya, perlaksanaan gaji minima ini dibuat berdasarkan hasil perkiraan longgokan pendapatan negara dengan jumlah tidak kurang RM2 billion yang dijelaskan secara terperinci oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengusaha IKS dinasihatkan membaca betul-betul belanjawan yang kita keluarkan supaya mereka yakin bahawa mereka tidak akan dianiaya dan mengalami kemeruduman pendapatan sekiranya kita memerintah.
“Kita yakin syarikat besar berupaya (melaksanakan gaji minima). Syarikat kecil ada suntikan tambahan kepada mereka.
“Jangan risau di mana akhirnya isu gaji minima ini akan memenangkan seluruh pihak. PR juga berupaya memastikan mereka dibela,” katanya dalam reaksi ringkas di lobi Parlimen.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat Selangor melaksanakan skim gaji minima berjumlah RM1,500 kepada anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dengan peruntukkan berjumlah RM10 juta.
Jelasnya, ketakutan yang disuarakan oleh pengusaha IKS ini ekoran propaganda Umno-BN yang tidak memberikan peluang kepada PR untuk menerangkan secara terperinci Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat.
Menurutnya lagi, Bajet 2013 Umno-BN sedikitpun tidak menyentuh langkah suntikan kewangan yang diperoleh sekiranya cadangan gaji minima RM900 yang dicadangkan kerajaan akan dilaksanakan tahun hadapan.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan dan wakil Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia, The Kee Sin mendakwa perlaksanaan gaji minima RM1,100 sebagai populis dan boleh mengakibatkan usahawan IKS gulung tikar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan