Jumaat, 5 Oktober 2012

Gagal Siap Laporan Bertulis MTUC Gesa Kerajaan Tangguh Bayar Faedah Persaraan Hakim




KUALA LUMPUR, 4 OKT : Kegagalan Hakim Mahkamah Rayuan, Datin Paduka Zaleha Zahari mengemukakan keputusan bertulis dalam kes semakan kehakiman Malaysian Trade Union Congress (MTUC) melawan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas).

Oleh itu, MTUC meminta badan kehakiman untuk menunda pembayaran faedah persaraan kepada Hakim Zaleha yang akan bersara beberapa minggu lagi.

Dalam kes ini MTUC memohon untuk mengekses laporan audit dan dokumen perjanjian konsesi air yang ditandatangani oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Selangor dan Syabas pada Disember 2004.
Zaleha yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa responden tidak berhak untuk mengakses laporan audit dan dokumen perjanjian konsesi air tersebut.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, langkah ini perlu kerana Zaleha didakwa melanggar aturan ‘Judges Code of Ethics 1994′ apabila gagal mengemukakan keputusan bertulis bagi kes yang didengar pada 25 Feb tahun lalu.

Klausa (f) kod etika itu menyatakan hakim tidak boleh: “dengan sengaja dan tanpa alasan munasabah menunda penyelesaian kes, membuat keputusan dan menulis alasan bagi keputusan yang dibuat.”
Charles berkata, Zaleha berjanji untuk mengemukakan keputusan bertulis, yang memihak kepada defendan, dalam masa sebulan.

“Kes ini tertunda di mahkamah rayuan selama 19 bulan.

“Adalah sangat penting bagi keputusan bertulis itu dikemukakan segera kerana Zaleha akan bersara dalam masa beberapa minggu lagi,” kata Charles pada sidang media di lobi Parlimen.

Charles yang juga koordinator NGO Gabungan Menentang Penswastaan Air (Coalition Against Water Privatisation) berkata tujuh surat dihantar setakat ini kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dan presiden mahkamah rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, bagi meminta penyelesaian, tetapi belum ada maklum-balas diterima.

Beliau menegaskan bahawa kes tidak boleh difailkan di peringkat Mahkamah Persekutuan selagi keputusan bertulis oleh Zaleh belum dikemukakan.

Tiada ulasan: