Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa bertindak untuk menangani isu gangsterisme di kalangan belia India berjaya dibentuk hari ini setelah mencapai kata sepakat dalam satu sidang meja bulat bersama beberapa wakil NGO, Pertubuhan Pelajar dan parti-parti politik.
Jawatankuasa yang dianggotai seramai 15 orang ahli ini dibentuk untuk mencari formula penyelesaian konkrit terhadap gejala gangsterisme di kalangan belia India yang makin berleluasa dan membimbangkan.
Menurut Pengerusinya, M. Manogaran yang juga Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, menularnya gejala gangsterisme dikalangan masyarakat India khususnya golongan belia bermula sejak zaman persekolahan.
Menjelaskan kenyataannya, Manogaran berkata, antara punca utama ia berlaku disebabkan beberapa faktor seperti kemiskinan dan keciciran dalam pendidikan dalam komuniti India sendiri.
“Masalah ekonomi adalah punca utama berlakunya gejala ini. Kita juga tidak dapat melihat kehendak politik dari pihak kerajaan yang seolah-olah mengganggap ini isu orang India,
“Kita tidak boleh berfikiran begitu. Masalah orang India ini sebenarnya adalah masalah nasional. Gangster India, dia merompak tak kira bangsa. Melayu pun dia rompak, Cina pun dia rompak. Samalah juga dengan gangster Melayu atau Cina, mereka tak kira siapa untuk dapat wang,”
Mengulas lanjut, Manogaran bersetuju bahawa gangsterisme adalah masalah nasional. Pun begitu ujarnya, statistik penglibatan kaum India dalam gangsterisme menunjukkan bilangan belia India lebih tinggi berbanding kaum lain.
“Keciciran, kemiskinan, mesti ada sebab. Itulah masalah yang kita kena lihat dan selesaikan.”
Sidang meja bulat tersebut pada hari ini telah mengusulkan tiga resolusi utama iaitu untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara dan mengadakan perbincangan, menganjurkan perhimpunan yang melibatkan kalangan masyarakat India untuk menyuarakan kebimbangan dan suara hati mereka dan melaksanakan kempen menolak budaya gangsterisme secara berperingkat. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan