Rabu, 17 Oktober 2012

BERSIH 3.0: Mahkamah dengar permohonan Anwar 23 November

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi menetapkan 23 November ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu sama ada Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di depannya, hari ini.

Anwar memfailkan permohonan itu bagi merujuk persoalan perundangan berhubung satu daripada tiga pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 terhadapnya. Pada 22 Mei lalu, Anwar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Majistret, Zaki Ashraf Zubir yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya orang awam tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sepanjang Jalan Tun Perak di sini antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April lalu mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Anwar, Mohamed Azmin dan Badrul Hisham merupakan kumpulan individu pertama didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman, yang berkuat kuasa tahun ini.

Mereka juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim dengan menghasut ketiga-tiganya membuka sekatan besi halangan di Jalan Raja pada hari sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa bersama penyokong 'Gabungan Bersih dan Adil' yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan mengingkari perintah Mahkamah Majistret yang dikeluarkan pada 26 April lalu, dan keingkaran itu mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan itu.

Anwar, 64, Mohamed Azmin, 48 dan Badrul Hisham, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Raja pada 3 petang, 28 April lalu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Tiada ulasan: