Selasa, 2 Oktober 2012

Belanjawan Pakatan angkat martabat wanita, basmi kemiskinan

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menyambut baik saranan dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 khusus untuk mengangkat martabat kaum wanita dan membasmi kemiskinan.

“Tahniah kepada Wanita KEADILAN yang mencetus suatu gagasan baru dalam usaha mengangkat martabat wanita melalui program dalam Agenda Wanita Malaysia, iaitu Caruman Wanita Nasional,” kata Azmin.

Ahli Parlimen Gombak itu memuji kegigihan golongan pengusaha dan peniaga wanita di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu yang punyai kemahiran keusahawanan.

“Itu membuktikan wanita perlu diberi pengiktirafan sebagai agen perubahan dan pemangkin ekonomi negara,” katanya.

Pakatan memperuntuk RM3 bilion melalui skim Caruman Wanita Nasional, dengan mewajibkan setiap suami menunaikan caruman kepada isteri mereka bermula dari kadar minimum RM120 hingga RM1,200 mengikut kemampuan.

Azmin turut menyentuh satu lagi agenda utama Pakatan iaitu membasmi kemiskinan tegar.

“Kita perlu mendukung agenda yang menjamin pertumbuhan lestari dan pengagihan yang adil seperti dalam Belanjawan Pakatan Rakyat yang bertemakan Ekonomi Rakyat Negara Berkat,” katanya.

“Sebab itu kita akan menaikkan Pembayaran Kebajikan daripada RM300 kepada RM550 sebulan, ikhtiar ini akan membebaskan lebih 84,000 keluarga dari belenggu kemiskinan tegar,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pergerakan menuntut hak wanita tidak perlu dijalankan di negara ini kerana kesaksamaan itu kononnya telahpun diberikan daripada awal lagi.

Demikian ucap beliau pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-50 hari ini.
Kenyataan itu bercanggah dengan Bajet 2013 yang dibentangkannya Jumaat lalu apabila tiada bahagian dikhususkan untuk wanita kecuali memasukkan golongan itu dalam Ahli Lembaga Pengarah Syarikat.

Tiada ulasan: