Jumaat, 19 Oktober 2012

Audit 2011: Kerajaan BN terus seleweng, membazir

Dewan Ulamak PAS,
 
Laporan Audit 2011 sekali lagi mendedahkan berlakunya penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang berterusan berlaku di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Saban tahun laporan audit dikeluarkan dengan beberapa teguran dan cadangan penambahbaikan di dalam tadbir urus kewangan, namun ianya terus berlaku seolah-olah ia tidak diambil berat oleh kerajaan. Ini menunjukkan sikap sebenar kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan dan penbambahbaikan.

Apa yang dibimbangi laporan audit yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara hanya sekadar untuk memenuhi kewajipan sebagai sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawab mengaudit perbelanjaan kerajaan semata-mata dan hanya untuk melengkapkan Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 yang menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan Laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan supaya Laporan itu dibentangkan di Parlimen.
Laporan audit dijalankan melalui 4 jenis pengauditan, antaranya :-

Pengauditan Penyata Kewangan - untuk memberi pendapat sama ada Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berkenaan menggambarkan kedudukan yang benar dan saksama serta rekod perakaunan mengenainya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

Pengauditan Pematuhan - untuk menilai sama ada pengurusan kewangan di Kementerian/Jabatan Persekutuan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.

Pengauditan Prestasi - untuk menilai sama ada sesuatu aktiviti Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan mencapai objektif/matlamat yang ditetapkan.

Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan - untuk menilai sama ada pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan dengan teratur.

Persoalannya, adakah kerajaan dan Jabatan Audit Negara hanya berselindung di sebalik kaedah pengauditan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka telah menjalankan pengauditan secara professional dengan menggunakan kaedah yang betul tetapi dalam masa yang sama, ada perkara-perkara yang menimbulkan banyak keraguan terutama projek-projek yang tidak dinyatakan di dalam laporan audit tersebut.

Amat wajar rakyat meneliti beberapa intisari kepada laporan audit 2011 yang jelas menunjukkan berlakunya beberapa perkara yang membimbangkan tentang gejala penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional. Apa yang pasti disebalik perkara tersebut akan menguntungkan sesetengah pihak yang tertentu dan membebankan negara dengan perbelanjaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Intisari laporan yang boleh diteliti melalui beberapa Kementerian dan agensinya,antaranya ;

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN


Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Ipoh Ke Padang Besar Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pelaksanaan projek adalah
kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. dua lanjutan masa selama 669 hari telah meningkatkan kos keseluruhan projek dengan   kenaikan yuran perunding;
ii. pihak Audit tidak dapat menentukan sama ada bayaran yuran khidmat nasihat kewangan   berjumlah RM1.06 juta kepada CIMB Investment Bank Bhd. dan Maybank Investment   Bhd. adalah pada kadar yang kompetitif kerana Kementerian Pengangkutan (Kementerian)    tidak mengeluarkan tawaran kepada bank-bank lain;
iii. kelewatan dalam pengambilan tanah di antara 82 hingga 1,227 hari;
iv. pelantikan kontraktor tidak secara pembidaan kompetitif;
v. syarat kontrak yang tidak menjamin kepentingan Kerajaan; dan
vi. kerja pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti.

KEMENTERIAN PELANCONGAN


Pengurusan Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan
Objektif program penyediaan/peningkatan kemudahan pelancongan adalah untuk menyedia
dan menambahkan lagi kemudahan asas/infrastruktur pelancongan serta membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pelancongan. Kementerian Pelancongan Malaysia (Kementerian) telah diperuntukkan sejumlah RM795.15 juta dibawah RMKe-9 dan PRE. Jumlah peruntukan ini adalah untuk melaksanakan 846 projek infrastruktur dan penyenggaraan, di mana ia meliputi sejumlah RM548.81 juta untuk 210 projek pembinaan infrastruktur dan sejumlah
RM246.33 juta untuk 636 projek penyenggaraan. Setakat bulan Disember 2011 sejumlah RM772.41 juta (97.1%) telah dibelanjakan.

Pada keseluruhannya pengauditan yang dijalankan mendapati bilangan projek yang dilaksanakan adalah memuaskan di mana sebanyak 742 (87.7%) daripada 846 projek telah disiapkan. Bagaimanapun, daripada sampel projek yang diaudit terdapat kelemahan seperti berikut:

i.bayaran telah dibuat untuk kerja pembinaan/bekalan yang tidak dilaksanakan/dibekalkan;

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Perolehan Peralatan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) Di Sekolah Menengah Teknik/Vokasional

Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM76.83 juta di bawah RMKe-9 bagi tujuan perolehan peralatan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV). Perolehan 1,293 item peralatan berjumlah RM63.02 juta telah diuruskan secara tender terbuka yang melibatkan 14 syarikat. Baki peruntukan berjumlah RM13.81 juta pula disalurkan kepada 85 Sekolah Menengah Teknik (SMT)/Sekolah Menengah Vokasional (SMV) untuk tujuan perolehan secara sebut harga atau/dan pembelian terus. Pengauditan yang dijalankan mendapati pada umumnya perolehan peralatan MPAV adalah memuaskan. Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kelemahan seperti berikut:

i. satu syarikat masih gagal membekalkan 2 jenis peralatan bernilai RM1.50 juta;
ii. sebanyak 139 unit peralatan bernilai RM2.21 juta tidak mengikut spesifikasi;
iii. sebanyak 30 unit peralatan bernilai RM337,077 telah dibayar sebelum diuji lari;
iv. tuntutan yang meragukan untuk bekalan peralatan MPAV bernilai RM1 juta;
v. sebanyak 2,447 unit peralatan bernilai RM7.39 juta masih belum/tidak digunakan    sehingga tarikh lawatan Audit; dan
vi. pemantauan secara fizikal yang dilaksanakan sama ada di peringkat Kementerian atau negeri tidak disokong dengan laporan mengenainya.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA


Projek Pembinaan Hospital Kluang, Johor

Kementerian Kesihatan Malaysia (Kementerian) telah menandatangani perjanjian projek pembinaan Hospital Kluang, Johor berkapasiti 256 unit katil dengan Kluang Health Care Sdn. Bhd. (Kluang HC) bagi menggantikan hospital sedia ada. Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina. Ketua Setiausaha Kementerian telah bertindak sebagai Pengarah Projek manakala Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan dilantik sebagai Wakil Pengarah Projek. Projek ini telah siap dibina pada 12 Oktober 2011 dan mula beroperasi pada 30 Disember 2011. Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pelaksanaan projek pembinaan Hospital Kluang adalah kurang memuaskan. Terdapat beberapa kelemahan yang ditemui seperti berikut:

i. pelantikan perunding yang tidak teratur sehingga mengambil masa 66 bulan;
ii. yuran profesional perunding terlebih dinyatakan sejumlah RM0.74 juta dan RM0.62 juta   telah dibayar;
iii. bayaran perunding sejumlah RM0.75 juta dibayar sebelum kontrak ditandatangani;
iv. asas kelulusan bagi Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa (EOT) 2 dan EOT 3  adalah diragui;
v. kerja pembinaan yang berkualiti rendah;
vi. perolehan 385 peralatan import bernilai RM11.64 juta telah dibuat tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri walaupun nilai perolehan yang diimport melebihi RM50,000; dan
vii. sebanyak 158 unit kuarters yang siap dibina masih belum diduduki oleh kakitangan hospital.

Pihak Audit mengesyorkan Kementerian mempertimbangkan tindakan seperti berikut:

i. mempertimbangkan tindakan terhadap pegawai yang memperakukan dan meluluskan   bayaran kepada perunding sebelum perjanjian ditandatangani;
ii. memantau kerja kontraktor dan memastikan kerja yang tidak mengikut spesifikasi, tidak  sesuai dan belum dilaksanakan dapat dibuat dengan segera agar hospital baru dapat  beroperasi secara maksimum. Tindakan juga perlu diambil terhadap kontraktor sekiranya  gagal melaksanakan kerja tersebut; dan
iii. tawaran perlu dibuka kepada agensi Kerajaan yang lain sekiranya pegawai di hospital
tidak berminat mendiami kuarters tersebut bagi mengelakkan pembaziran.

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Pengurusan Pembinaan Dan Perolehan Peralatan Pembelajaran Pusat Latihan
Teknologi Tinggi (ADTEC)

Setakat tahun 2011, Kementerian Sumber Manusia (Kementerian) telah membina 8 Pusat
Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di seluruh Malaysia termasuk 4 yang baru siap dibina
pada tahun 2009 hingga 2011.

Bagi perolehan peralatan pembelajaran, di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC)  sejumlah RM228 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan dan perolehan dibuat secara rundingan terus.

Pengauditan yang dijalankan mendapati secara amnya prestasi pembinaan 4 ADTEC iaitu Taiping,Kemaman, Bintulu dan Jerantut adalah memuaskan. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang boleh menjejaskan objektif pembinaannya seperti berikut:

i. empat ADTEC tidak dapat disiapkan dalam tempoh kontrak asal dan telah diluluskan antara satu hingga 6 lanjutan masa melibatkan tempoh antara 90 hingga 706 hari. ADTEC Jerantut mengalami kelewatan yang paling lama iaitu sehingga 706 hari (23 bulan);
ii. prestasi perolehan peralatan pembelajaran adalah kurang memuaskan kerana
kelewatan melaksanakan proses rundingan harga mengakibatkan peralatan
pembelajaran tidak dapat dibekalkan sebaik sahaja bangunan disiapkan; dan
iii. terdapat kerja yang tidak mematuhi spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai. Namun
begitu, Kementerian telah memberikan komitmen untuk memperbaiki kelemahan yang
dibangkitkan di mana tindakan segera telah diambil terhadap beberapa kelemahan/
kecacatan kerja yang dilaporkan.

Pihak Audit mengesyorkan pihak terlibat mengambil tindakan seperti berikut:

i. Jabatan Tenaga Manusia (JTM) perlu mempercepatkan proses perolehan peralatan
pembelajaran bagi memastikan kemasukan pelajar dapat dibuat mengikut perancangan
asal serta keupayaan serta kapasiti bangunan dapat diuji bersama-sama dengan
peralatan pembelajaran sebelum berakhirnya Tempoh Tanggungan Kecacatan.
Bagaimanapun, JTM juga bertanggungjawab untuk memastikan proses perolehan
peralatan pembelajaran dibuat dengan teratur bagi mengelakkan Kerajaan mengalami
kerugian;
ii. Kementerian/JKR hendaklah menyenaraihitamkan kontraktor/ konsultan yang gagal
melaksanakan kerja pembinaan mengikut syarat kontrak

KEMENTERIAN PERTAHANAN


Kemudahan Rumah Keluarga Anggota Tentera Bagi Angkatan Tentera Malaysia

Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya prestasi pembinaan bagi
12 projek Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT) yang dibina dalam RMKe-9 dan pengurusan RKAT yang diaudit adalah kurang memuaskan. Antara kelemahan yang ditemui adalah seperti berikut:
i. kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh kontrak asal dan diberi lanjutan masa
antara 94 hingga 1,240 hari;
ii. projek RKAT yang telah siap mempunyai bilangan kecacatan pembinaan dan kerosakan
yang tinggi dan kontraktor gagal membaikinya dalam tempoh tanggungan kecacatan;
iii. peningkatan kos projek RM174.43 juta (15.5%) kepada RM1,297.18 juta berbanding kos
kontrak asal berjumlah RM1,122.75 juta;
iv. kelemahan dalam pengurusan kemudahan RKAT yang disediakan seperti RKAT tidak
diduduki sepenuhnya, kualiti perabot yang rendah dan tahap kepuasan penghuni
terhadap kemudahan RKAT adalah kurang memuaskan; dan
v. pentadbiran kontrak dan pengurusan penyenggaraan yang kurang memuaskan.
RAHSIA
Pihak Audit mengesyorkan supaya Kementerian mengambil tindakan seperti berikut:

i. memastikan kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja pembinaan dan penyediaan
kemudahan RKAT adalah berkelayakan dan berwibawa;
ii. membuat pemeriksaan dan memastikan kontraktor membaiki kerosakan/kecacatan yang
ditemui dengan segera sebelum memulangkan Bon Pelaksanaan atau sebelum Tempoh
Tanggungan Kecacatan tamat. Pelarasan harga projek bagi kerja-kerja yang tidak
disempurnakan oleh kontraktor hendaklah dibuat;
iii. melaksanakan pengurusan nilai bagi semua projek yang bernilai RM50 juta untuk
mendapat value for money dalam perbelanjaannya;
iv. memastikan kesemua unit RKAT sedia ada digunakan secara optimum dan mengambil
tindakan yang sewajarnya bagi mengisi RKAT yang masih kosong dan memperbaiki unit
RKAT yang rosak; dan
v. memastikan klausa kontrak dikuatkuasakan bagi menjamin kepentingan Kerajaan serta
mengelakkan implikasi kewangan yang akan merugikan Kerajaan.

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Polis DiRaja Malaysia

Pembinaan Pangkalan Polis Marin Lahad Datu, Sabah

Projek Pembinaan Pangkalan Polis Marin Lahad Datu, Sabah adalah memuaskan di mana ia telah dapat disiapkan dan berjaya mencapai objektif pembinaannya. Namun begitu, terdapat kelemahan seperti berikut:

i. projek mengambil masa selama 2 tahun 5 bulan untuk dimulakan daripada tempoh
projek diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 12 Ogos 2002 sehingga ke tarikh
sebenar pemilikan tapak;
ii. projek lewat disiapkan dari tarikh asal projek sepatutnya siap di mana 2 lanjutan masa
selama 299 hari telah diluluskan (Fasa I) dan 3 lanjutan masa selama 528 hari telah
diluluskan (Fasa II);
iii. terdapat reka bentuk/spesifikasi yang tidak sesuai serta terdapat kerja pembinaan yang
tidak memuaskan/tidak siap; dan
iv. Kementerian tidak merancang dan menyediakan kontrak perkhidmatan pembersihan
bagi kawasan pembinaan setelah projek diserahkan kepada pengguna.

Bagi memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan dan juga memastikan perkara yang sama
tidak berulang dalam pelaksanaan projek yang lain, pihak Audit mengesyorkan pihak yang
terlibat melaksanakan perkara seperti berikut:

i. Kementerian/Kementerian Kewangan perlu mengambil tindakan segera terhadap
permasalahan yang wujud di peringkat perancangan dan pelaksanaan projek. Ini
bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan objektifnya dapat
direalisasikan mengikut perancangan. Ia juga bagi memastikan Kontraktor tidak terjejas
dengan sebarang keputusan yang tertangguh oleh pihak Kerajaan yang memberi kesan
kepada pematuhan Kontraktor terhadap jadual pelaksanaan projek yang ditetapkan;RAHSIA
ii. Kementerian perlu memastikan kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan
diperolehi sebelum sesuatu kerja pembinaan ditawarkan;
iii. Kementerian perlu mengambil tindakan terhadap perunding yang gagal mengambil kira
keperluan tertentu semasa menyediakan reka bentuk bangunan yang menyebabkan
ketidakselesaan dan kesusahan berpanjangan kepada pengguna dengan
menyenaraihitamkan perunding berkenaan daripada mengambil bahagian dalam manamana
projek pembinaan Kerajaan di masa hadapan;
iv. Kementerian melalui perunding yang dilantik perlu memastikan kerja yang dilaksanakan
oleh Kontraktor mematuhi spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan bagi menjamin kualiti
pembinaan;

Pihak Jabatan Audit  Negara turut menunjukkan bukti penyalahgunaan kuasa,penyelewangan dan pembaziran melalui penemuan-penemuan audit yang telah dilaporkan di dalam Laporan Maklum Balas Aktiviti Badan Berkanun.

Penemuan audit yang perlu diberi perhatian antaranya :

Suruhanjaya Koperasi Malaysia

Pelantikan Konsultan Progam TUKAR

Semakan Audit mendapati pelantikan konsultan dan pembekal program TUKAR telah diuruskan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia SKM dengan melantik sebuah syarikat secara lantikan terus. Bagaimanapun, tiada surat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk pelantikan ini. Selain itu, SKM tidak mengeluarkan surat tawaran pelantikan konsultan dan pembekal program TUKAR kepada syarikat tersebut. Pelantikan ini hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah SKM pada Mesyuarat Lembaga Pengarah yang diadakan pada 30 Mei 2011.

Syarikat ini telah melaksanakan pengubahsuaian kedai runcit, bekalan peralatan dan P.O.S System kepada 111 koperasi yang terlibat dengan program TUKAR dengan jumlah peruntukan RM5.40 juta. Sehingga bulan Mei 2012, SKM telah membayar balik tuntutan pembekalan sejumlah RM5.41 juta kepada syarikat itu dengan menggunakan peruntukan RMKe-10 berjumlah RM3.05 juta dan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi berjumlah RM2.36 juta.

Pada pendapat Audit, SKM perlu memastikan setiap perolehan bekalan atau perkhidmatan dilakukan hendaklah mengikut tatacara perolehan yang telah ditetapkan. Kelulusan bertulis daripada Kementerian Kewangan perlu diperoleh bagi pengecualian terhadap peraturan yang berkenaan. Ini adalah untuk memastikan semua perolehan mematuhi peraturan serta mengelakkan ketidakpatuhan dalam proses perolehan. SKM memaklumkan permohonan kelulusan khas dan perolehan secara runding terus telah dikemukakan pada 5 Jun 2012.

SKM telah menerima kelulusan khas perolehan secara rundingan terus dari Kementerian Kewangan bagi perkhidmatan/bekalan program pemodenan kedai runcit koperasi untuk pembayaran kepada Felda Trading Sdn. Bhd. pada 2 Julai 2012 bagi tempoh selama 5 tahun mulai tahun 2011 hingga 2015. SKM telah mengeluarkan surat tawaran perlantikan konsultan dan pembekal melalui surat bertarikh 27 Januari 2012.

Amat wajar perkara ini diberi perhatian kerana dilihat ada unsur penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa telah berlaku melalui pelantikan Konsultan tersebut. Amalan tatacara yang tidak mengikut prosedur seperti  ini tidak harus dibiarkan berterusan kerana ia akan membawa kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa.

Di dalam laporan Maklum Balas tersebut banyak teguran yang telah dibuat oleh pihak audit terhadap Suruhanjaya Koperasi Malaysia SKM terutama melibatkan beberapa perkara lain yang berkaitan tatacara pelantikan konsultan.

Lembaga Getah Malaysia LGM

Penemuan audit banyak berkaitan dengan pembelian peralatan yang kategorikan belum digunakan, tidak digunakan dan tidak digunakan sepenuhnya. Terdapat beberapa kes yang seumpama itu di dalam penemuan audit berkaitan dengan Lembaga Getah Malaysia,  antaranya :

Contoh peralatan yang belum digunakan :

Lawatan Audit 19 Disember 2011 mendapati 6 jenis peralatan berjumlah RM5.22 juta masih belum dipasang dan telah disimpan di premis pembekal dan pihak yang dilantik olehnya. Semakan lanjut mendapati tiada surat atau perjanjian yang menyatakan pembekal dan pihak yang dilantik olehnya boleh menyimpan komponen peralatan tersebut bagi pihak LGM.

Contoh peraltan yang tidak digunakan :

Peralatan 13L dan 100L Fermenters telah diterima oleh LGM pada bulan Disember 2008. Lawatan Audit pada bulan November dan Disember 2011 mendapati peralatan ini telah siap dipasang sepenuhnya tetapi tidak digunakan. Tempoh peralatan tidak digunakan selama 36 bulan kerana masih belum ada keperluan bagi tujuan penyelidikan menyebabkan objektif pembelian peralatan tidak tercapai.

Contoh peralatan yang tidak digunakan sepenuhnya:

Lawatan Audit pada bulan November dan Disember 2011 mendapati peralatan berjumlah RM1.71 juta telah dipasang tetapi tidak digunakan sepenuhnya sebagaimana objektif pembelian. Peralatan ini hanya dapat digunakan untuk mengujilari Profile Product dan Surface Product. Perkara ini disebabkan komponen peralatan iaitu Cooling dan Cutter Line belum dibeli untuk menghasilkan produk. Semakan Audit mendapati komponen peralatan ini tidak dimasukkan dalam spesifikasi pembelian Cold Feed Extruder. Mengikut Minit Mesyuarat Ringkasan Projek Pembangunan RMKe-9, peruntukan yang tidak mencukupi menyebabkan pembelian komponen peralatan terpaksa ditangguhkan.

Laporan audit 2011 telah menggunakan beberapa perkataan seperti; “kurang memuaskan”, “kelemahan”, “beberapa kelemahan”, “tidak digunakan”, “belum digunakan” dan “tidak digunakan sepenuhnya”. Penggunaan perkataan tersebut telah mendedahkan wujudnya penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran.

Ini adalah sebahagian daripada penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional,terdapat banyak lagi penemuan-penemuan yang ditunjukkan di dalam Laporan Audit 2011. Semua penemuan ini jelas menunjukkan salah urus dalam pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan dan agensi di bawahnya. Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang banyak sehingga mencecah berbillion ringgit.

Rakyat mesti berazam untuk menghukum kerajaan dalam PRU 13 nanti, kerajaan yang sanggup berbelanja besar dan membazir demi kepentingan mereka dan kelompok tertentu bukan untuk rakyat. Penyalahgunaan kuasa,penyelewangan dan pembaziran tersebut sekaligus akan meningkatkan kadar hutang negara. Ini akan menyebabkan rakyat terus dibebani dengan hutangh Negara yang tidak berkesudahan.

Disediakan oleh Majlis Penyelidikan, Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tiada ulasan: