Isnin, 22 Oktober 2012

Amal Malaysia perluas misi kemanusiaan ke Assam

Khairul Azlam Mohamad,
KUALA TERENGGANU: Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) dengan kerjasama rakan strategiknya di negara India, Human Welfare Foundataion (HWF) akan mengadakan Misi Kemanusian dan Perubatan ke Wilayah Assam di Timur Laut India bagi membantu umat Islam sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Presiden Amal Malaysia, Hussin Ismail (gambar) berkata selain melaksanakan ibadah korban, kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di bawah naungan Persekutuan Antarabangsa bagi Bantuan dan Pembangunan (International Federation For Relief & Development - IFRD) itu, akan menghulurkan khidmat bantuan ke wilayah yang bersengketa tersebut.

"Kita dengan kerjasama HWF di India akan mengadakan misi bantuan kemanusian dan perubatan ke Wilayah Assam, sebuah negeri di Timur Laut India yang bergelut dengan krisis antara kaum dan agama.

"Persengketaan antara puak Bodo dengan orang Islam, kumpulan minoriti yang bertutur dalam bahasa Bengali telah memuncak sejak Julai tahun ini mengakibatkan kira-kira 400,000 menjadi pelarian," ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, persengketaan di wilayah Assam telah berlaku sejak berdekad-dekad dan yang terburuk sebelum ini, pernah berlaku pada tahun 1983.

Oleh itu, beliau mengharapkan orang ramai yang prihatin dapat memberikan sumbangan kepada Yayasan Amal Malaysia, selain menjadi satu kewajipan kepada umat Islam di Malaysia membantu saudara seagama di Wilayah Assam.

Beliau meletakkan sasaran sekurang-kuranganya menyembelih 100 ekor lembu dan kerbau di Assam bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini.

Katanya, harga bagi satu bahagian korban lembu atau kerbau adalah sebanyak RM300 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 24 Oktober ini.

Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan atau menyertai skim ibadah korban di Wilayah Assam boleh mengubungi beliau di talian 019-9511860 atau 03-61874382 atau melalui akaun Yayasan Amal Malaysia BIMB 13053010003149, Maybank 553010122090, CIMB 14680000191108, HSBC 001057884021, Bank Muamalat 13010002499715 atau Pusat Dakwah Serantau BIMB 13053010005100.

Tiada ulasan: