Jumaat, 12 Oktober 2012

Adakah Pulau Pinang dianak-tirikan dalam Belanjawan 2013? – Guan Eng

Roketkini.com

GEORGE TOWN: Tan Sri Nor Mohamad Yakcop digesa supaya jangan memutarbelit fakta peruntukan belanjawan untuk negeri Pulau Pinang bagi tahun 2013.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyarankan supaya Tan Sri Nor yang disifatkannya sebagai Soros Malaysia supaya tidak membohongi rakyat Pulau Pinang dengan mengulang-ulang projek lama untuk negeri itu, padahal peruntukan tahunan untuk pembangunan negeri semakin menyusut.

“Adakah ini Janji Ditepati?” soal Guan Eng. “Apa untuk negeri Pulau Pinang? Dia hanya cerita sejarah,” ujar beliau terhadap Tan Sri Nor yang membangkitkan pembangunan-pembangunan lampau bagi menutup kelompongan belanjawan kerajaan persekutuan yang menganak-tirikan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat.

“Beliau sebut jambatan kedua Pulau Pinang, ini bukan daripada bajet 2013. Ini zaman Pak Lah. Pembesaran Empangan Mengkuang pula adalah hasil rundingan untuk menyerahkan aset air.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga bukan daripada bajet 2013. Itu dari bajet dua tahun lepas, dan kita pun sudah ucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan,” kata beliau.

Menurut beliau, peruntukan kali ini menyusut teruk berbanding peruntukan yang dijadualkan dalam Rancangan Malaysia ke-9 sebanyak RM6,646 juta.

“Untuk tahun ini dan tahun depan RM1,340 juta sahaja. Bukankah ini jauh beza berbanding dengan Rancangan Malaysia ke-9,” ujar beliau.

“Saya harap Tan Sri Nor janganlah cuba menyembunyikan fakta. Sama seperti beliau cuba menyembunyi fakta kerugian tukaran wang asing sebanyal RM15.8 bilion pada tahun 92 dan 93 sewaktu beliau menjadi ‘George Soros of Malaysia’ dan memperjudikan wang bank negara dalam pasaran tukaran wang asing,” tegasnya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: