Ahad, 7 Oktober 2012

36 pelatih PLKN Kem Cenderawasih Cador gaduh

FARAH SHAZWANI ALI

ACP-K-Manoharan

KUALA TERENGGANU - Gara-gara dituduh memecah masuk lokar rakan, dua kumpulan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seramai 36 orang bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang di Kem PLKN Cenderawasih Cador, Pengkalan Berangan, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian tersebut berpunca apabila satu kumpulan pelatih menuduh ahli kumpulan lain mencuri barang, sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan kedua-dua kumpulan berkenaan.

“Kumpulan berkenaan seramai 27 orang kemudiannya bertindak menyerang kumpulan satu lagi yang terdiri daripada sembilan orang dan ada daripadanya bersenjatakan kayu, hingga menyebabkan kecederaan.

“Kesembilan mereka cedera dan lebam di badan. Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat, sebelum polis bertindak menahan 27 orang pelatih itu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas Manoharan, kesemua yang ditahan direman selama empat hari bermula semalam dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Tiada ulasan: