Jumaat, 11 November 2011

Video lucah: Anwar diambil keterangan Rabu depan

Lim Hong Siang


Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim diarahkan untuk merakamkan keterangan di bawah Seksyen 128 Kanun Keseksaan pada Rabu (23 November) di Balai Polis Kepong, berikutan maklumat yang diberikannya berhubung satu video lucah yang dikaitkan terhadap dirinya.

Menurut peguam Anwar, juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Sivarasa Rasiah, tuduhan di bawah seksyen 128 berbunyi, "Dengan secara sengaja memberi maklumat yang palsu kepada seorang kakitangan kerajaan, dengan niat untuk mengakibatkan kesusahan, kecederaan ataupun gangguan kepada pihak lain." Hukuman penjara enam bulan atau denda RM2000 akan dikenakan jikalau tertuduh disabit bersalah.

Sivarasa Rasiah menambah, pegawai penyiasat kes ini, iaitu ASP Teh Boon Ang memberitahu bahawa polis memulakan siasatan ini berikutan satu aduan polis yang dibuat oleh DSP Shanmuga Moorthy. Menurut Sivarasa, DSP Shanmuga Moorthy bertanggungjawab untuk kes ini ketika Anwar membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. Bagaimanapun, punca mengapa kes ini dialihkan dari IPD Dang Wangi ke Balai Polis Kepong kekal menjadi misteri, kata Sivarasa.

Beberapa orang pimpinan pusat PKR mengecam bahawa ianya satu penganiayaan politik terhadap Anwar, dan menggesa agar segala penyiasatan kes ini dihentikan serta-merta, dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Pada pagi 21 Mac 2011, satu video seks telah ditayangkan kepada editor dan wartawan media di Hotel Carcosa Seri Negara oleh ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah. Malah, dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media, tuduhan dilemparkan bahawa Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video seks tersebut.

Anwar Ibrahim, bagaimanapun memanggil sidang media pada petang itu, menafikan tuduhan tersebut. Beliau membuat laporan polis berhubung penayangan video tersebut di Balai Polis Dang Wangi pada 22 Mac 2011. Pada 23 Mac, tiga orang yang menggelar diri mereka sebagai "Datuk-T", iaitu Shazryl, Abdul Rahim Thamby Chik (bekas ketua menteri Melaka) dan Shuib Lazim (bekas bendahari PERKASA) mengaku bertanggungjawab kepada penayangan video tersebut.

Isu ini terus hangat dipermainkan menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak pada April 2011, sungguhpun isteri Anwar Ibrahim, Wan Azizah Ismail menafikan bahawa pelaku dalam video itu suaminya. Terdapat cadangan untuk menayangkan video tersebut dalam parlimen, malah ada yang mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat video tersebut. Lebih-lebih lagi, "Datuk T" mencabar Anwar untuk bersumpah agar membuktikan dirinya tidak bersalah.

Bagaimanapun, Datuk T akhirnya dihadap ke mahkamah atas tuduhan menayangkan video lucah secara terbuka, dan ketiga-tiga orang didenda RM3,000, RM1,000 dan RM1,500 masing-masing setelah mengaku bersalah pada 24 Jun 2011. Namun, peguam bela Rahim, iaitu Shafie Abdullah cuba merayu dengan alasan bahawa Datuk T telah melakukan sesuatu kebaikan untuk orang awam. Malah, Shafie membacakan laporan analisis pengecaman muka oleh pakar Dartmouth College, Handover, New Hampshire, bahawa pelaku dalam video adalah 99.9% sama dengan gambar Anwar.

Tiada ulasan: