Isnin, 14 November 2011

Tauliah ditarik kerana langgar garis panduan

Sultan Selangor bertitah ahli politik tidak boleh berceramah di masjid dan surau di negeri itu.



DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Tauliah, kebenaran untuk menyampaikan ceramah di masjid dan surau di seluruh negeri, ditarik balik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana individu terbabit melanggar garis panduan yang ditetapkan.

Datuk Dr Hasan Ali, exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam berkata, penarikan itu juga dibuat setelah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah ahli politik tidak boleh berceramah di masjid dan surau di negeri itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia menjelaskan perkara ini ketika menjawab pertanyaan lisan, Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan SUK, di sini hari ini.

Menurut Hasan, dari sejumlah 3,315 tauliah yang dikeluarkan hanya dua daripadanya yang ditarik balik oleh Jais dan dari jumlah itu sebanyak 434 orang yang menerima tauliah sebelum ini telah tamat tempoh.

Beliau menegaskan isu tauliah ini perlu pendekatan yang bijaksana untuk diselesaikan, tanpa wujud sifat negatif seperti dendam.

“Saya ingin berpesan kepada mana-mana pihak supaya memberi kenyataan berdasarkan fakta kerana menuduh tanpa fakta dan hanya berdasarkan laporan media sahaja adalah merbahaya.

“Sejak awal lagi, saya bersama Jais dan Mais (Majlis Agama Islam Selangor) sentiasa meneliti mana-mana cadangan yang diberikan berhubung isu ini,” katanya.

Hasan berkata, kesemua negeri di Malaysia mempunyai peraturan memberi tauliah kepada penceramah di masjid dan surau termasuk di Wilayah Persekutuan.

“Tiada negeri di negara ini yang tidak beri tauliah, kerana adanya peruntukan tauliah. Tetapi masalahnya ramai orang memfokuskan kepada Selangor, mungkin kerana program-program mengimarahkan masjid banyak dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Beliau berharap isu tauliah ini tidak lagi dibangkitkan dalam sidang Dun akan datang memandangkan isu ini telah dijelaskan secara terperinci.

Tiada ulasan: