Khamis, 3 November 2011

Suhakam, Majlis Peguam perlu 'balik ke pangkal jalan'


Jimadie Shah Othman

Exco pendidikan Selangor, Datuk Hasan Ali menyeru pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam "balik ke pangkal jalan" daripada menyokong aktivisme lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

NONEKatanya, bukan sahaja Islam, malah pelbagai lagi agama menentang amalan yang menyalahi hukum fitrah itu.

"Mana-mana agama pun tak boleh (amalan ini).

"Saya seru teman-teman di Suhakam, Majlis Peguam supaya balik ke pangkal jalan," katanya ketika ditanya penyertaan bekas pemimpin Majlis Peguam S Ambiga dalam program "Seksualiti Merdeka" yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

"Kalau sesat di Ipoh boleh cari jalan (pulang), kalau (sesat) akidah (macam mana)?"

Beliau bagaimanapun mengakui percaya penyokong LGBT masih mempunyai "jiwa agama" kerana isu itu bukan sekadar berkaitan moraliti.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita, Hasan juga menyifatkan konsert penyanyi gay Elton John di Genting Highlands akan menyemarakkan lagi "api" gerakan itu.

NONE"Ia seolah-olah simbah minyak. (Jadi) hak Pemuda PAS (kalau) nak berdemonstrasi atau apa bentuk bantahan pun.

"Bagi peminat, cukuplah dengar cakera padat dan CD sahaja," katanya disambut gelak ketawa pemberita.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan seminar berkaitan prinsip Islam dalam perubatan alternatif, Dr Hasan berkata, beliau difahamkan beberapa masjid di Lembah Klang akan mengadakan demonstrasi esok.

"Saya sendiri tak minta, terpulanglah pada mereka (hendak terlibat)," katanya.

Menurut Dr Hasan lagi pelbagai program memantapkan akidah, syariah dan akhlak umat Islam telah dan akan dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, program khusus untuk menangani gejala LGBT itu memerlukan pakar khusus dalam pelaksanaannya.

"Ia perlukan pendekatan batiniah, bukan sekadar lahiriah. Kalau tak ada pengetahuan, bukan positif, tapi negatif jadinya," katanya.

Justeru, Dr Hasan mencadangkan dikumpulkan tenaga fikir untuk menjalankan penguatkuasaan berkaitan.

Tiada ulasan: