Selasa, 22 November 2011

SPR mahu temu Pakatan pujuk adakan PRU serentak

MALAYSIA CHRONICLE


SUNGAI PETANI– Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih meletakkan harapan agar pilihan raya umum ke-13 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan semua negeri kecuali Sarawak dapat diadakan serentak.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata beliau akan menemui para pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan berhubung pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata pertemuan itu bertujuan menerangkan kebaikan pilihan raya peringkat DUN dan Parlimen diadakan serentak antaranya bagi menjimatkan perbelanjaan, masa dan tenaga kerana prosesnya sama.

“Walaupun undang-undang membenarkan pilihan raya umum DUN dan Parlimen diadakan berasingan tetapi SPR lebih suka diadakan serentak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis taklimat untuk pengurus dan penolong pegawai pengurus bagi persiapan pilihan raya umum ke-13 peringkat negeri Kedah di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata SPR bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-13 berlangsung tahun ini atau tahun depan.

Kerajaan Persekutuan mempunyai mandat sehingga 27 April 2013. Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada April lepas.

Pada 17 November lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata DUN Selangor tidak akan dibubarkan pada awal tahun depan meskipun Kerajaan Persekutuan bertindak membubarkan Parlimen dan hanya bersedia menyertai pilihan raya umum ke-13 jika ia diadakan selepas Jun 2012.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi lima alasan mengapa DUN negeri itu tidak akan dibubarkan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil pilihan raya umum tergempar.

Aziz berkata SPR mengalu-alukan cadangan pelbagai pihak bagi menambah baik proses pilihan raya kepada jawatankuasa pilihan khas, namun ia perlu dibuat mengikut saluran yang ditetapkan.

Mengenai pengundi, beliau berkata sebanyak 42,000 nama yang tidak dapat dikesan atau dipastikan masih wujud diberi tempoh sehingga Disember untuk mengesahkan “kewujudan” mereka sebelum boleh didaftarkan dalam senarai daftar pemilih.

Aziz berkata lebih 13,000 pengundi yang tidak dapat dikesan itu berada di Sabah manakala di Kedah terdapat kira-kira 2,000 orang.

Kira-kira tiga juta orang, majoritinya berumur 21 hingga 41 tahun belum mendaftar dan sebilangan besar tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan manakala di Kedah terdapat kira-kira 300,000 orang yang layak belum mendaftar, katanya.

Mengenai taklimat itu, beliau berkata ia telah diadakan di Kelantan, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah dan dijangka berakhir Januari ini. -TheMalaysianInsider

Tiada ulasan: