Sabtu, 5 November 2011

Speaker Selangor: Prestasi Adun Pakatan Makin Baik

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim memuji Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Pakatan Rakyat kerana mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dalam setiap sidang yang berlangsung sejak tiga tahun lalu.

Ulasnya, adun-adun ini kini lebih cenderung untuk meneliti dan membuat kajian terperinci terutama dari sudut teknikal sebelum mengetengahkan pelbagai isu berkaitan pentadbiran negeri.

Beliau yang juga Adun Sungai Pinang turut memuji muka-muka baru kerana bersemangat dan profesional dalam berhujah dan membawa masalah rakyat.

" Adun Selangor yang baru, mereka lebih tekun dan profesional dalam membawa isu," katanya.

Bagaimanapun, Teng turut menegur sikap segelintir pemimpin berpengalaman yang masih berada di takuk lama dan tidak menunjukkan sebarang kemajuan untuk meningkatkan prestasi mereka.

Ia katanya berlaku apabila pemimpin berpengalaman berasa selesa dengan kedudukan mereka.

"Ia adalah kelemahan manusia kerana apabila seseorang itu telah lama, maka dia akan berasa selesa. Apabila ia berlaku, maka usaha dan dorongan untuk belajar sesuatu yang baru itu menjadi lebih lambat," tegas Teng.

Dalam temubual khas bersama TV Selangor itu, Teng turut menasihatkan Adun Selangor yang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen supaya bijak membahagi masa dalam melaksanakan tugas demi menjaga kepentingan rakyat di negeri ini.

Ia bertujuan supaya sebarang isu atau topik berkaitan pentadbiran negeri dan masalah rakyat dapat dibawa dan disuarakan kepada Parlimen dan sidang Dewan Negeri Selangor .

"Memandangkan kita mempunyai tiga orang Adun yang juga adalah Ahli Parlimen mewakili kawasan berlainan, memang itu satu cabaran buat mereka untuk membahagikan masa supaya peranan mereka di Parlimen dan Dewan Negeri dapat dimainkan dengan baik di mana suara rakyat Selangor berkaitan pentadbiran negeri dapat dibawa ke Dewan Negeri Selangor dan sebaliknya.

Mengikut pemerhatian saya, Adun yang memegang dua jawatan ini perlu menggunakan cara di mana pada waktu pagi mereka hadir ke sidang Dewan Negeri Selangor atau sebaliknya bergantung kepada isu atau topik yang ingin dibicarakan," katanya.

Tiada ulasan: