Khamis, 24 November 2011

Sidang DUN: Adun wanita DAP `serang’ menteri besar

Berhubung kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan kadang kala jenayah juga berpunca daripada kecuaian orang ramai yang tidak mengunci pintu dan meletakkan tong gas di belakang rumah.



SEREMBAN: Sidang DUN Negeri Sembilan hangat seketika apabila Adun wanita Wong May May (DAP-Mambau) “menyerang” Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataan kadang kala jenayah juga berpunca daripada kecuaian orang ramai yang tidak mengunci pintu dan meletakkan tong gas di belakang rumah mereka.

Mohamad (BN-Rantau) berkata demikian ketika menjawab soalan asal P Gunasekaran (DAP-Senawang) yang meminta kes jenayah perlu dibanteras secepat mungkin agar orang awam bebas bergerak dan berada di dalam situasi yang selamat.

Jawapan itu membangkitkan kemarahan May May apabila beliau mendesak Mohamad meminta maaf kerana menyalahkan mangsa jenayah.

“Jawapan ini menghina dan meletakkan kesalahan pada mangsa jenayah sedangkan peratusan mangsa cuai adalah amat kecil.

“Malah rumah Adun Lobak, Loke Siew Fook sendiri pernah dipecah masuk sehingga pintu bilik beliau turut dipecah walaupun rumah beliau mempunyai tiga kunci dan bilik juga berkunci”, kata May May.

Ketika itu Zainal Abidin Ahmad (BN-Sungai Lui) mencelah dengan bertanya pada May May “Mambau masuk bilik Lobak kah?”.

Desak minta maaf

Pertanyaan yang berbaur lucah tersebut membuatkan wajah May May agak berang. Bagaimanapun May May tidak menghiraukan Zainal Abidin dan terus mengasak Mohamad dengan mendesak meminta maaf.

May May juga turut mempertikaikan jawapan Mohamad bahawa kadar jenayah telah menurun sebanyak 20 peratus.

May May berkata kadar jenayah tidak turun tetapi mungkin ramai yang tidak mahu membuat laporan polis kerana hilang keyakinan ke atas pihak polis .

“Ada mangsa yang membuat lima hingga enam laporan polis tetapi tiada tindakan.Kadang kala terpaksa menunggu sehingga berjam-jam untuk membuat laporan polis dan menunggu pegawai penyiasat (IO).

“Mangsa yang dalam keadaan seperti ini sudah tentu akan hilang keyakinan kepada pihak polis”, ulas May May lagi.

Mohamad bangun dan menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud meletakkan kesalahan kepada orang ramai yang cuai sebagai punca jenayah tetapi sekadar mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk memastikan tahap jenayah terkawal itu adalah tanggungjawab bersama dan bukan seratus peratus diletakkan di atas bahu pihak berkuasa semata-mata.

Tiada ulasan: