Khamis, 24 November 2011

Sekat Suara Rakyat, PR Bantah RUU Perhimpunan Aman

Oleh Mohd Ezli Mashut


KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat akan mengemukan memorandum membantah Rang Undang-Udang Perhimpunan Aman 2011 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat kerana mendakwa bil tersebut menyekat kebebasan berhimpun dan bertentangan dengan semangat demokratik.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rombongan Pakatan akan menghantar memo tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) pada hari esok, jam 1.30 tengahari.

"Majlis Pakatan Rakyat memandang berat, kerana ia jelas memperlihatkan satu rang undang-undang yang bertentangan dengan jaminan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan kelonggaran dan hak rakyat dalam negara demokratik.

"Walaupun Seksyen 27 Akta Polis itu bakal dibatalkan, tetapi ada beberapa perkara syarat baru dalam soal perhimpunan, seperti notis 30 hari, kuasa mutlak kepada pihak polis, dan segala bentuk perhimpunan yang tidak akan diizinkan di bawah kelulusan mereka, dan rayuan hanya kepada menteri. Ini semua tidak mempamerkan suatu perkara yang demokratik," katanya pada satu sidang media di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen.

Antara cadangan di dalam rang yang dibentangkan pada Isnin lalu adalah:

- Notis awal 30 hari hendaklah diberi untuk berhimpun. Perhimpunan boleh diteruskan, kecuali terdapat bantahan daripada polis.

- Tiada protes jalanan dibenarkan.

- Tiada protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat.

- Denda RM10,000 kepada penganjur perhimpunan yang tidak mengemukan notis kepada polis.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan rang undang-undang itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan untuk berhimpun dan bersuara.

"Ia merupakan satu langkah ke belakang, dan semua merasa amat kecewa dengan Rang Undang-Undang ini, Datuk Seri Najib telah memusnahkan apa yang beliau ucapkan pada dua bulan lepas (15 September ) yang memperkatakan Malaysia akan mempunyai sistem demokrasi yang terbaik di dunia, " katanya.

Menurut Kit Siang, rang itu menaikan denda individu yang ditahan dalam perhimpunan daripada RM2,000 hingga ke RM20,000.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata sekiranya Parlimen meluluskan rang ini, ia akan menyempitkan ruang kepada penyuburan demokrasi yang lebih segar.

"Yang jelas beberapa perkara itu mengecilkan ruang demokrasi. Bayangkan kalau esok Israel serang Arab Saudi, dan kita mahu mengadakan perhimpunan secara aman berkenaan perkara itu, bagaimana dalam tempoh 30 hari untuk mendapatkan satu notis daripada pihak Polis, jadi ini satu contoh yang mengecilkan demokrasi dan kita bimbang ia datang kepada ceramah-ceramah kecil yang hari ini kita boleh buat dengan notis selama 10 hari yang kini memerlukan 30 hari, jadi bayangkan," katanya.

Tiada ulasan: