Dianggarkan sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara sehingga April tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany, berkata angka itu dikeluarkan Bank Dunia berikutan kajian bersama dengan Unit Perancang Ekonomi JPM.
Beliau berkata, penubuhan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah langkah tepat dalam usaha menarik mereka untuk kembali berkhidmat di tanah air.
"Antara usaha TalentCorp untuk menjangkau golongan ekspatriat Malaysia yang masih bekerja di luar negara termasuk pelaksanaan program Returning Expert Programme (REP)," katanya ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai warga Malaysia berkenaan.
Katanya, bagi mereka yang masih ingin bekerja di luar negara, TalentCorp berusaha membina jaringan profesional dengan mereka untuk mengketengahkan peluang pekerjaan serta menggunakan kepakaran dan jaringan mereka di luar negara yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi negara.
"TalentCorp menjalankan sesi temu seru bagi membina jaringan dengan warga Malaysia di luar negara, termasuk di Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya.
Devamany berkata, golongan itu dianggap penting kerana mereka turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar melalui wang yang dihantar pulang.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan