Khamis, 24 November 2011

RUU Perhimpunan Aman penuh muslihat, langgar Perkara 10

Norutul Ilham


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman yang dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen, baru-baru ini, melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan jauh lebih menindas berbanding akta sedia ada, kata Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

“RUU Perhimpunan itu melanggar hak asasi dalam Perkara 10 Perlembagaan. Ia juga lebih zalim dan menindas. Pakatan tolak dan pagi tadi Ketua Pembangkang mencadangkan Perdana Menteri menarik balik RUU ini,” katanya.

Beliau antara Ahli Parlimen dari KEADILAN yang menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), selain Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Turut hadir ialah pemimpin Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Mereka kesal kerana kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) mahu menggantikan Akta Polis 1967 dan Suhakam melindungi hak rakyat yang termaktub dalam Perkara 10.

Mengulas hal itu, Zuraida yang juga Ketua Wanita KEADILAN menyifatkan RUU Perhimpunan Aman itu jauh lebih menindas daripada undang-undang sedia ada.

“RUU itu penuh muslihat, menafi hak rakyat untuk berhimpun dan apabila kita lihat syarat-syaratnya, jelas amat menekan dan menindas,” kata beliau.

Sementara itu, Pesuruhanjaya Suhakam, Mohammed Shaani Abdullah turut menolak RUU berkenaan kerana melanggar hak demokrasi.

“Kami juga mengharapkan undang-undang perhimpunan aman memberi hak kepada rakyat dan bukan meletakkan tekanan kepada mereka.

“Orang yang menghalang ambulan boleh dikenakan denda, inikan menghalang hak demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz membentangkan RUU Perhimpunan Aman 2011 di Dewan Rakyat atas alasan menggantikan sekatan perhimpunan awam dalam Akta Polis 1967.

Namun, RUU itu sebaliknya, memberi polis lebih banyak kuasa terutamanya berhubung sekatan dan syarat-syarat untuk berhimpun.

Tiada ulasan: