Rabu, 9 November 2011

RM300 juta untuk ‘Geran Selangorku’

Pentadbiran tanpa rasuah dan kronisma serta pengurusan yang cekap dan tiada ketirisan telah memberi manfaat kepada rakyat Selangor.



DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan sebanyak RM300 juta di bawah ‘Geran Selangorku’ guna melaksanakan program-program yang berfaedah untuk rakyat.

Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, geran itu berasaskan dana sumbangan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Selangor dan keuntungan yang diperolehi Menteri Besar Incorporated (MBI) yang berjaya mengutip hutang lapuk dari Talam Corporation Sdn Bhd.

“Sebelum ini keuntungan dimanfaatkan oleh rakan kongsi serta kroni yang berkuasa, namun kini habuan besar itu akan diagihkan kepada rakyat Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2012 ’Selangorku: Hasil Negeri untuk Rakyat’ ketika sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12 di sini hari ini.

Ujar beliau, “ini sekaligus membuktikan bahawa pentadbiran tanpa rasuah dan kronisma serta pengurusan yang cekap dan tiada ketirisan telah memberi manfaat kepada rakyat Selangor. Inilah hasil reformasi yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat selama ini.

“Geran ini akan diurus selia oleh MBI kerana ia adalah jentera yang paling sesuai untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Sebagai pemerbadanan yang memegang pelaburan dalam GLC Negeri, MBI mempunyai kuasa untuk mengawal-selia semua GLC Negeri.

Abdul Khalid berkata, program-program yang akan dilaksanakan melalui ”Geran Selangorku” ini termasuklah pengenalan gaji minima, memperkasakan wanita, keusahawanan muda, infrastruktur sukan, sokongan pendidikan, kebajikan kepada pekerjaan, pembasmian rasuah dan penyelewengan.

Di bawah program pengenalan gaji minima beliau berkata, kerajaan negeri mengumumkan kadar RM1,500 gaji kasar kepada rakyat dan program ini dimulakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worlwide Holdings.

Kepada syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang belum stabil dari segi prestasi kewangannya, dana sebanyak RM10 juta disediakan untuk menampung kos operasi.

Nafi bajet pilihan raya

Sementara itu, Abdul Khalid menjelaskan kerajaan negeri turut memperkenalkan program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan dan sebanyak RM15 juta telah diperuntukan di bawah program ini.

Ini sebagai inisiatif membasmi rasuah memandangkan statistik menunjukkan Malaysia berada di tangga ke 56 indeks rasuah.

Pelapor kes rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam agensi kerajaan negeri yang berjaya dibuktikan, juga akan diberi hadiah,” katanya.

Melalui program pengukuhan demokrasi peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan bagi geran terhad dalam mengukuhkan proses pilihan raya adil dan bebas.

Program ini melibatkan aktiviti kesedaran dan juga latihan sukarelawan serta pemantau pilihan raya.

“Bajet ini tiada kena mengena dengan pilihan raya. Setiap parti politik sekarang bersedia untuk pilihan raya umum akan datang.

“Kerajaan negeri bertegas bahawa jika pilihan raya diakan sebelum tahun keempat…kami tidak akan menyertainya,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan bajet petang tadi.

Tiada ulasan: