Orang-orang Raja Nong Chik bertepuk tangan bila timbul skandal projek lembu feedlot.
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai semakin bergelora apabila penyokong tokoh tertentu dari Umno mula bersaing sesama sendiri bagi memastikan pemimpin yang disokong mereka dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Seorang ahli Pergerakan Wanita Umno, yang memegang potfolio yang tidak kurang penting dalam pergerakan itu memberitahu, isu ini semakin panas semenjak timbulnya isu Pusat Feedlot Kebangsaaan yang dikaitkan dengan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abd Jalil.
Beliau yang mahu dikenali sebagai Ani berkata, selain Sharizat yang dianggap sebagai calon tradisi di parlimen itu, nama lain yang disebut sebagai calon ialah Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
“Sekarang angin gelora pilihan raya siapa akan dicalonkan memang semakin panas, dah semacam tak terkawal lagi dah di Lembah Pantai ni.
“Walaupun semua orang tahu dah berapa penggal Sharizat bertanding di Lembah Pantai, tetapi Raja Nong Chik juga dah lama cuba masuk jarum, berkempen sana-sini.
Tepuk tangan isu projek feedlot
“Yang buat saya sakit hati tu, bila timbul pula skandal projek feedlot tu, orang-orang Raja Nong Chik, bukannya nak membantu atau pun sekurang-kurangnya simpati, tetapi bertepuk tangan lagi adalah.
“Kalau penyokong pembangkang tu tak kisahlah, tetapi saya tengok dia orang pun sama juga macam penyokong pembangkang, itu yang buat saya sedih tu,” kata beliau.
Beliau juga memberitahu walaupun anggapan sesetengah pihak bahawa Raja Nong Chik adalah calon boleh menang di Parlimen Lembah Pantai tetapi belum tentu dapat mengatasi prestasi Sharizat sekaligus boleh menjamin kemenangan BN di kawasan itu.
“Saya berpendapat kalau ada orang kata Raja Nong Chik adalah calon ‘winnable’ di sini, itu belum tentu lagi, sebab Sharizat adalah calon favourite di sini kalau nak bandingkan dengan Raja Nong Chik.
“Memang kita akui dia adalah Ketua Umno di sini, tetapi jangan lupa Sharizat pernah berkhidmat sebagai YB selama tiga penggal, banyak bantu penduduk dan dah tentu lebih mengenali pengundi di sini berbanding Nong Chik.
Silap hari bulan kalah lebih besar
“Saya bimbang kalau pusat letak dia juga, nanti bukan sahaja kita kalah lagi, tetapi silap hari bulan kita kalah dengan majoriti lebih besar dari dahulu.
“Sebab itulah ramai rakan-rakan dalam Umno termasuk wanita, puteri dan dari MCA mahukan Sharizat di sini dan bukannya Raja Nong Chik.
“Rakan-rakan dari MCA beritahu kami, walaupun kita lihat pengundi Cina lebih pro-pembangkang, tetapi Sharizat lebih mudah diterima pengundi Cina berbanding Raja Nong Chik,” ujar beliau.
Ani juga mendakwa, beberapa pihak yang dianggap sebagai juru kempen Raja Nong Chik yang sudah lama bergerak di Lembah Pantai bukan sahaja meningkatkan imej pemimpin itu, malah seolah-olah cuba merendah imej Sharizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno itu.
“Dia orang kempen untuk bos dia orang tu satu hal lah juga, tapi yang tak sedapnya dia orang merendah-rendahkan imej Shahrizat macam dah terdesak nak jadi calon.
“Contoh paling mudah dan jelas sekali, macam yang saya katakan tadi dalam isu projek feedlot, macam mana kami tak sakit hati?
“Saya tak mahu nanti gara-gara sikap dia orang macam tu, nanti ada yang sakit hati sampai merajuk dan boikot atau lagi teruk, kalau ada orang BN sendiri yang sabotaj kempen masa pilihan raya nanti,” ujar beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan