Selasa, 8 November 2011

PKR dakwa Najib, Noh bohong

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: PKR hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menipu Dewan Rakyat berhubung isu pinjaman kepada Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Bercakap pada satu sidang media di lobi parlimen hari ini, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memberitahu sebenarnya keseluruhan RM250 juta telah dibayar kepada NFC oleh syarikat penternakan lembu yang dimiliki suami dan anak-anak seorang menteri kabinet.

"Keseluruhan jumlah dana tersebut sebenarnya telah disalurkan sepenuhnya ke dalam akaun NFC menjelang 31 Mac 2009. Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama sejumlah RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008.

"Manakala pada 31 Mac 2009, NFC telah mengambil pinjaman kedua berjumlah RM220 juta yang terus dimasukkan ke akaun Maybank milik NFC dan 6 Mei 2009 NFC memindahkan wang dari pinjaman ini berjumlah RM116 juta ke dalam akaun deposit tetap milik NFC di Public Bank Berhad," jelas Rafizi.

Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha PKR Saifuddin Nasution yang juga Ahli Parlimen Machang.

Merujuk kepada penyata kewangan NFC yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan badan-badan lain, menunjukkan NFC mendapat keuntungan faedah dari simpanan deposit tetap berjumlah RM666,925.96 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009.

Jumlah keuntungan faedah dari simpanan deposit sebesar ini kata Rafizi hanyalah dapat diperolehi sekiranya NFC mempunyai simpanan tetap ratusan juta ringgit.

Malah keuntungan itu katanya seolah-olah NFC adalah sebuah syarikat pelaburan kewangan dan bukannya operator ladang ternakan lembu.

"Status pinjaman RM250 juta yang telah diberikan sepenuhnya kepada NFC ini disahkan opleh carian rasmi di SSM yang menunjukkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, Hutang Jangka Panjang (Non-current liabilities) NFC berjumlah RM256,082,518 yang terdiri dari pinjaman kerajaan RM250 juta serta geran kerajaan RM6,082,518 juta," sambungnya lagi.

Noh pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu berkata bahawa hanya sebahagian daripada pinjaman mudah telah dibayar manakala projek itu tidak gagal sebagaimana yang didakwa oleh PKR.

Katanya lagi, tidak ada percanggahan kepentingan dalam keluarga menteri kabinet itu yang mendapat geran kerajaan melalui saluran yang betul.

Najib pula pada 1 November lalu melalui awapan bertulis kepada Dewan Rakyat menyebut bahawa setakat 31 Julai hanya RM181.9 juta daripada geran dan pinjaman berjumlah RM250 juta telah disalurkan kepada NFC.

Kedua-dua kenyataan tersebut menjelaskan bahawa bayaran pinjaman itu belum dibayar sepenuhnya.

"Kedua-dua kenyataan ini adalah tidak benar dan menyelewengkan transaksi sebenar yang melibatkan Kerajaan Malaysia melalui Kementarian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC yanf dimiliki serta diurus oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"Berasaskan kepada fakta-fakta yang diperolehi, saya menyeru Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Iondustri Asas Tani serta Datuk Shahrizat Jalil tampil kehadapan menjelaskan secara terperinci sama ada telah berlaku sebarang penyelewengan wang rakyat sepanjang Projek Fidlot Kebangsaan ini dilaksanakan," jelas Saifuddin pula.

Tiada ulasan: