Khamis, 10 November 2011

Pilihan raya: PSC setakat ini setuju terima 40 peratus syor


KUALA LUMPUR– Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya mengesahkan kira-kira 40 peratus daripada cadangan dikemukakan setakat ini telah dipersetujui oleh panel khas itu.

Pengerusi PSC Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (gambar) berkata, cadangan-cadangan tersebut akan dibentangkan awal bulan depan sebelum sidang Parlimen semasa ditangguhkan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya berkenaan kandungan cadangan yang telah dipersetujui setakat ini.

“Laporan sementara daripada PSC akan dibentangkan sebelum sidang Parlimen ditangguhkan pada 4 atau 5 Disember ini, buat masa sekarang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan cadangan sudah dipersetujui oleh jawatankuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 45 Tahun Fuji Xerox Malaysia di sini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, setakat ini kira-kira 40 kumpulan orang awam sudah menyuarakan permohonan mereka untuk menyertai sesi pendengaran awam yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.

“Kami masih lagi membuka cadangan kepada orang ramai terhadap proses ini, mesyuarat keempat PSC akan diadakan esok, selepas itu proses pendengaran awam akan dibuat pada hari Jumaat dan Sabtu untuk kawasan tengah melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Perak,” jelasnya.

Sebelum ini beliau berkata, sekurang-kurangnya enam sesi pendengaran awam akan diadakan di Kuala Lumpur, satu di Sabah, satu di Sarawak, satu di utara Semenanjung mungkin di Kedah, satu di Pantai Timur mungkin di Terengganu dan satu di selatan sama ada Melaka atau Johor.

Beliau juga berharap kesemua sesi itu dapat diselesaikan bulan depan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu diadakan awal bulan lalu dan memberi penekanan ke atas empat fokus utama iaitu peraturan pilihan raya, proses pilihan raya, daftar pemilih dan memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Panel itu, yang diumumkan pembentukan Ogos lalu, terdiri daripada sembilan anggota.

Mengulas lanjut, Ongkili juga menegaskan penubuhan PSC bukanlah sandiwara politik sebaliknya panel itu ikhlas untuk menambahbaiki proses pilihan raya agar lebih adil dan telus.

“PSC ini bukan sandiwara atau jawatankuasa main-main, ia dibentuk oleh Parlimen, bukannya dibentuk oleh kerajaan semata-mata.

“Kami ikhlas menjalankan tanggungjawab kami, ahli PSC juga terdiri daripada kalangan parti pembangkang,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat terbuka untuk menerima pendapat rakyat supaya proses pilihan raya di negara ini akan menjadi lebih telus dan bersih.

Tiada ulasan: