Muhammad Faizal |
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan pengamal media perlu melaksanakan tanggungjawab yang betul dalam setiap apa yang dilaporkan. Ini, katanya kerana kesilapan mereka menyiarkan sebarang berita akan menjatuhkan maruah sesebuah negara mahupun individu tertentu. Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan akhbar Australia, The West Australian mengakui laporannya sebelum ini yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Razak berbelanja besar di negara itu sebagai tidak benar. "Saya rasa apa yang penting adalah sikap tanggungjawab pengamal media apatah lagi ia menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa. "Sebarang laporan yang tidak tepat sudah pasti akan memjatuhkan imej sesebuah negara serta individu tersebut, dan apa yang saya katakan ini bukan hanya merujuk kepada apa yang disiarkan di dalam akhbar milik Australia itu sahaja tetapi ia meliputi pengamal media di dalam negara kita. "Yang mana penyebaran fitnah berita-berita yang tidak tepat sudah menjadi sinonim dengan mereka terutamanya di media elektronik milik kerajaan dan juga media cetak," jelasnya. Beliau juga berkata, tidak kira berita kepada siapa jua disiarkan kalau ia berunsur fitnah serta tanpa bukti yang kukuh, maka perlu diketepikan. Justeru, ahli Parlimen Kubang Kerian itu meminta pengamal media agar perlu berhati-hati dalam setiap apa yang mereka ingin sampaikan. "Kita berharap akhbar milik kerajaan di negara ini juga mempunyai sikap yang sama. Kalau perkara itu tidak betul atau masih samar-samar janganlah disiarkan kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jangan pula terkena pada diri sendiri baru kita nak melenting," sambungnya lagi. Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis Najib membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia. Dalam laporan tersebut juga, peniaga membuat keuntungan besar apabila "seorang wanita pertama" membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' dilapor membelanjakan A$60,000. |
Jumaat, 4 November 2011
Pengamal media mesti bertanggungjawab
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan