Khamis, 24 November 2011

PAS Perak tubuh Bilik Gerakan Banjir

Harakahdaily


IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengambil perhatian serius mengenai ramalan kaji cuaca yang menjangkakan berlaku hujan lebat berterusan yang akan mengakibatkan banjir di sebelah Utara Perak pada pertengahan atau akhir bulan November ini.

Ketua penerangannya, Ahmad Nuri Al-Amin berkata, langkah pertama yang telah diputuskan oleh pimpinan parti ialah menubuhkan satu Bilik Gerakan Banjir di peringkat negeri dan PAS kawasan yang terbabit di bawah pemantauan dan seliaan, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Menurutnya, PAS Perak juga telah menyusun beberapa langkah persediaan awal bagi menghadapi suasana banjir di Utara Perak pada kali ini termasuk persediaan keselamatan.

Malah, ujarnya PAS negeri yang memperjuangkan konsep Negara Berkebajikan juga akan menawarkan bantuan yang sesuai seperti membersihkan rumah selepas banjir surut kelak.

Bagi persediaan itu juga, katanya Jabatan Amal Negeri Perak yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri akan menyiapkan anggota mereka membentuk satu pasukan bantuan banjir bagi menghadapi sebarang kemungkinan musibah banjir kali ini.

“Kami juga mengalu-alukan bantu orang ramai dalam semua aspek keperluan bagi membantu mangsa banjir kelak dan berharap persediaan awal ini nanti akan melicinkan gerak kerja bantuan yang akan disalurkan kelak.

“Kami juga mendoakan agar Allah SWT dapat melindungi kita dari segala malapetaka dan memberi kita kekuatan untuk bersabar dalam menghadapi segala ujian-Nya,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Untuk sebarang pertanyaan, maklumat dan sumbangan, bolehlah menghubungi talian 05-3136377.

Tiada ulasan: