Sabtu, 5 November 2011

PAS: Kakitangan awam akan diselaras, bukan kurangkan


MALAYSIA KINI

Perkhidmatan kakitangan awam akan diselaraskan dan bukan dikurangkan jumlah mereka sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-13, kata ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

NONEKatanya, penyelarasan tugas yang efisyen dengan sistem timbang-tara yang baik dapat meningkatkan sikap kebertanggungjawaban dalam jabatan-jabatan kerajaan.

"Ini bakal dapat mengurangkan jumlah insiden ketirisan, keborosan dan elemen rasuah yang dilaporkan dalam Laporan Audit setiap tahun.

“Itulah fokus utama Pakatan Rakyat untuk mengubah nasib kakitangan awam sekiranya diberi mandat berkuasa nanti dan bukannya soal mengecilkan jumlah kakitangan awam," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Tuan Ibrahim, yang juga adalah pesuruhjaya PAS Pahang, masalah utama yang melanda kakitangan awam hari ini adalah ketidakselarasan tenaga kerja yang menyebabkan wujudnya pertindanan tugas antara jabatan-jabatan.

NONE"Sebagai contoh, dalam penguatkuasaan di jalanraya sahaja, terdapat pelbagai agensi yang terlibat - antaranya polis, peronda lebuhraya, Jabatan Pengangkutan Awam, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain.

“PAS yakin sekiranya tugasan tersebut dapat diselaraskan, ia akan dapat mewujudkan dan meningkatkan keberkesanan dalam perkhidmatan awam yang secara langsung juga akan meningkatkan daya saing kerajaan," katanya.

Tidak efisien

Kenyataan Tuan Ibrahim dipercayai merujuk laporan media-media arus perdana yang mensensasikan kenyataan setiausaha publisiti DAP, Tony Pua (bawah, kanan) baru-baru ini yang berkata Pakatan akan mengurangkan kakitangan kerajaan dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

NONEKatanya, PAS yakin rakyat terutamanya para kakitangan awam bakal mengecapi pulangan yang lebih baik berbanding zaman pemerintahan BN sekiranya Pakan mengambilalih tampuk pemerintahan nanti selepas PRU-13.

"Dengan pentadbiran bersih dan kebolehan Pakatan seperti yang ditunjukkan di negeri-negeri kuasaan mereka, sekiranya diberi mandat nanti, PAS yakin pendapatan dan bajet kerajaan akan bertambah sihat dengan pengurangan hutang negara secara berperingkat.

“Pada masa itu, rakyat, terutamanya para kakitangan awam bakal mengecapi pulangan yang lebih baik berbanding zaman pemerintahan BN. InsyaAllah," katanya.

Oleh itu, menurut Tuan Ibrahim, apa yang penting sekarang ialah untuk menyedarkan seluruh kakitangan awam bahawa mereka perlu bangkit membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik.

"Soal pengecilan (downsizing) atau penambahan (upsizing) kakitangan awam bergantung kepada kepentingan dan keperluan masa depan negara.

azlan“Soal mengecilkan jumlah kakitangan awam tidak timbul kerana prospek keperluan mana-mana negara akan diselaraskan dengan keperluan pembangunan negara yang sentiasa bertambah tahun ke tahun," katanya lagi.

Malaysia mempunyai lebih sejuta kakitangan awam atau kira-kira 4 peratus daripada jumlah penduduk negara yang dianggap antara tertinggi di dunia.

Tiada ulasan: