Sabtu, 5 November 2011

Operasi Syabas Diaudit

Oleh Mohd Naeem Mohamad Raffi


SHAH ALAM : Dua firma perakaunan yang dilantik kerajaan Selangor akan menjalankan kajian terperinci ke atas akaun dan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) minggu ini sebagai persediaan untuk mengelak berlakunya kekurangan bekalan air di negeri ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hasil laporan berkenaan akan dikemukakan bagi memberi penjelasan berhubung dakwaannya bahawa loji pembersihan milik kerajaan negeri, yang diurus Syabas, tidak mengeluarkan air terawat mencukupi.

"Ini (dakwaan Syabas tidak keluar air terawat mencukupi) adalah soal teknikal.

"Kita akan terangkan selepas audit terhadap Syabas dibuat dan saya akan kemukakan apa yang audit buat nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Shah Alam, semalam.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan berkata kerajaan negeri Selangor melantik Tetuan Atkins dan Tetuan Halcrow untuk menjalankan kajian terperinci ke atas akaun dan operasi Syabas sebagai persediaan untuk mengelak berlakunya kekurangan bekalan air di negeri ini tanpa bergantung kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Beliau berkata kajian itu dijalankan terutama daripada segi penggunaan aset negeri termasuk loji pembersihan yang akan dipulihkan semula supaya Selangor mempunyai air terawat yang mencukupi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada orang ramai mengenai skim premium tanah yang diperkenalkan pada Jun lalu.

"Skim ini adalah pilihan kerana pemilik tanah boleh memilih cara bayaran mengikut kadar pengiraan yang lama. Kita tidak memaksa pemilik tanah memilih skim baru ini sebaliknya terletak di tangan mereka mengikut tahap kemampuan," katanya dipetik daripada BERNAMA.

Beliau berkata kerajaan negeri turut bersedia untuk berdebat mengenai isu terbabit jika masih ada pihak yang tidak memahami polisi berkenaan walaupun setelah menghadiri sesi taklimat.

Tiada ulasan: