Rabu, 23 November 2011

MB S’gor: Tiada lobi, komisen untuk lulus projek

Abdul Khalid sebaliknya berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada projek pelaburan itu sekiranya ia baik dan menguntungkan semua pihak.



PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelabur dalam mahupun luar negara tidak perlu melobi atau membayar komisen kepada pihak tertentu bagi mendapatkan kelulusan projek pelaburan di negeri itu.

Abdul Khalid sebaliknya berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada projek pelaburan itu sekiranya ia baik dan menguntungkan semua pihak.

“Jika pelaburan ini menguntungkan kerajaan negeri juga akan mendapat untung seterusnya mampu meningkatkan ekonomi negeri yang mana hasilnya disalurkan semula kepada rakyat.

“Kerajaan negeri akan membuat yang terbaik untuk memastikan pelabur dapat menjalankan perniagaan dengan mudah tanpa banyak karenah birokrasi.

“Saya juga memberi jaminan bahawa perniagaan di Negeri Selangor adalah bersih kerana kami mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menganjurkan makan tengahari bersama pelabur-pelabur Jepun yang menghadiri Seminar Pelaburan Malaysia anjuran Malaysia-Japan Commerce Association (Majeca) di Tokyo, semalam.

Pelabur Jepun

Katanya,kerajaan negeri amat menghargai sokongan pelabur Jepun yang menjadi pelabur terbesar di negeri ini dengan jumlah pelaburan hampir RM1.2 bilion setakat Ogos lalu.

Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2011, sebanyak 18 projek dari negara Jepun telah diluluskan di negeri itu yang menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Sepanjang lawatan selama dua hari ke Jepun, Abdul Khalid melawat Ibu Pejabat Sony Corporation dan mengadakan perjumpaan singkat dengan Naib Presiden Kanannya, Tsugie Miyashita.

Beliau juga mengadakan perjumpaan dengan wakil syarikat Toyota untuk membincangkan rancangan syarikat pengeluar kereta itu membuka kilang di Rawang selain bertemu dengan wakil syarikat Nomura.

Lawatan tersebut yang pertama ke Jepun sejak Abdul Khalid dilantik menjadi Menteri Besar pada 2008.

Turut menyertai lawatan kerja ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Datuk Mohd Jabar Ahmad Kembali dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan.

Tiada ulasan: