Khamis, 24 November 2011

Majlis Agama Selangor Dan Zakat Diaudit Dan Dapat Sijil Bersih

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa akaun Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun.

Titah itu dinyatakan Sultan Selangor berhubung kenyataan Profesor Dr Aziz Bari sebelum ini yang menyatakan akaun Mais dan LZS tidak diaudit.

Baginda dalam pada itu turut menyifatkan kenyataan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu adalah tidak tepat.

"Beta sangat dukacita apabila Beta dimaklumkan terdapat satu laporan yang menyatakan bahawa Profesor Abdul Aziz Bari ada membuat kenyataan bahawa akaun Mais dan LZS tidak diaudit dan bebas daripada diaudit.

Beta harap Profesor Abdul Aziz Bari jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti Mais dan LZS sebelum mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang serta barisan Exco Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) lain.

Mais pada Selasa lalu menjelaskan dakwaan bahawa laporan kewangan tahunan Mais tidak perlu diaudit adalah tidak tepat.

Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Laporan Kewangan Tahunan Mais Disatukan telah disediakan dan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara setiap tahun dan Mais selama 1997 hingga 2010 telah mendapat pengiktirafan sijil bersih melalui Sijil Ketua Audit Negara.

Beliau berkata, akaun pengurusan amil Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut diaudit oleh juruaudit luar sejak 1996 dan audit penilaian strategik dijalankan oleh Price Waterhouse Coopers (PWC) pada 2009.

Tiada ulasan: