Selasa, 22 November 2011

Mais sangkal laporan kewangan tidak diaudit

Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata selama ini majlis itu terima pengiktirafan sijil audit bersih selama ini.



PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini menjelaskan dakwaan bahawa laporan kewangan tahunan Mais tidak perlu diaudit adalah tidak tepat.

Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata:

“Laporan Kewangan Tahunan Mais Disatukan telah disediakan dan dikemukakan keada Ketua Audit Negara setiap tahun dan Mais selama 1997 hingga 2010 telah mendapat pengiktirafan sijil bersih melalui Sijil Ketua Audit Negara.”

“Akaun pengurusan amil Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut diaudit oleh juruaudit luar sejak 1996 dan audit penilaian strategik dijalankan oleh Price Waterhouse Coopers (PWC) pada 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan berita FMT berkenaan pindaan peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011.

Pada 10 November, FMT melaporkan bahawa pindaan peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011 membolehkan MAIS mengelak dari diaudit oleh jawatankuasa audit awam.

Rugi RM1.4 bilion

Turut dilaporkan adalah titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua Adun meluluskan pindaan tersebut tanpa perbahasan di dewan dalam bulan Julai.

Seorang Adun yang tidak mahu dinamakan mendakwa bahawa pindaan tersebut menyebabkan kerajaan negeri kehilangan pendapatan sejumlah RM1.4 bilion.

Selain itu, sumber tersebut turut menyatakan bahawa sebelum ini pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilantik sebagai setiausaha Mais tetapi pindaan seksyen 16 (1) Enakmen 2003 membolehkan sesiapa sahaja sebagai setiausaha Mais.

Adzib mempertahankan titah perintah sultan sebagai selaras dengan kedudukan sebagai ketua agama Islam dan berniat untuk melancarkan perjalanan Dewan Negeri.

“Sultan berpuas hati bahawa semua cadangan pindaan sekiranya diluluskan dapat memberikan kebaikan kepada pentadbiran agama Islam dan rakyat beragama Islam,” kata Adzib.

Adzib turut menjelaskan perbezaan Mais berbanding badan berkanun lain meskipun ia juga sebuah badan berkanun.

Kehendak Sultan

“Penubuhan Mais adalah di atas kehendak Sultan Selangor selaras dengan peruntukan Fasal (1) Perkara XLVIII Undang-undang Tubuh Selangor 1959.

“Mais bertanggungjawab sepenuhnya kepada Sultan Selangor dan tidak tertakluk kepada bidangkuasa jawatankuasa DUN,” kata Adzib.
Adzib turut menjelaskan bahawa wang zakat dan fitrah tidak termasuk dalam kategori Kumpulan Wang Yang Disatukan kerana ia wang hasil berlainan dari wang hasil kerajaan negeri.

“Wang zakat dan fitrah dimasukkan ke dalam Baitulmal dan diagihkan mengikut asnaf dan ia perlu diagih sepenuhnya mengikut tahun semasa. Pengagihan wang zakat dan fitrah perlu dijakankan oleh Mais.

Berhubung isu pelantikan setiausaha Mais, Adzib berkata bahawa pindaan dibuat setelah mengambilkira beban tugas san tanggungjawab berat Pengaeah JAIS yang perlu mengawal selia 2,675 kakitangan di seluruh negeri selain 8,000 guru kelas agama di sekolah di Selangor.

Tiada ulasan: