Rabu, 23 November 2011

LZS Juga Sumbang Ke Negeri Luar Selangor

Oleh Hafizan Taib


SHAH ALAM : Penyaluran dana zakat dilakukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di luar Selangor adalah bukti keprihatinan Selangor dalam usaha membantu menangani permasalahan ummah yang berlaku di dalam negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, bantuan zakat ke luar negeri Selangor dikenali sebagai Program Selangor Prihatin dan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS.

Malah, katanya, sebahagian kecil bantuan turut disalurkan kepada negara-negara jiran dan Islam yang umat Islamnya lemah dan memerlukan pembelaan.

Bagaimanapun, jelasnya, LZS sentiasa mengutamakan kepentingan umat Islam di Selangor sebelum menyalurkan dana zakat ke luar negeri ini.

"Program ini menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan di kalangan asnaf fakir dan miskin menerusi agenda pembangunan pendidikan dan ekonomi. Ia baru dilaksanakan pada tahun ini dan bermula dengan negeri Perlis. Bantuan ini turut akan disalurkan kepada negeri-negeri lain iaitu negeri Kedah, Kelantan dan Perak secara berperingkat dalam tempoh lima tahun," katanya dalam sidang media di Dewan MTES, Bangunan SUK di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa d kepaan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Marzuki Hussin.

Selain program itu, menurutnya, LZS turut menyalurkan bantuan dari masa ke semasa terutama ke negeri yang menghadapi bencana alam seperti banjir di mana sehingga kini negeri yang menerima bantuan itu adalah Kedah, Perlis, Johor dan Pahang.

Katanya, bantuan dari masa ke semasa dalam bentuk pembelaan institusi masjid dan pendidikan di negara jiran Malaysia dan negara Islam lain turut diberikan kepada Palestin, Kemboja, Acheh, Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Jelasnya, bantuan disalurkan itu adalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat di Selangor yang mana jumlahnya kurang RM1 juta.

"LZS tidak menafikan keperluan asnaf di Selangor dan masih menumpukan perhatian sepenuhnya kepada mereka dengan pelbagai bentuk bantuan disalurkan. Sehingga Oktober lalu, LZS telah menagihkan zakat sebanyak RM228 juta dan sebanyak RM71.6 juta kepada asnaf fakir dan miskin," katanya.

Tiada ulasan: