Ahad, 6 November 2011

LINTASAN MAUT DI TENOM LAMA?



MEDIA PBS TENOM

PERGERAKAN Pemuda PBS Melalap menggesa Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) agar meningkatkan langkah-langkah keselamatan di semua ‘point’ pintu lintasan keretapi tidak berpagar dan berpagar di sepanjang landasan antara Tenom ke Tanjung Aru supaya benar-benar selamat dan berfungsi dengan baik, untuk mengelakkan kejadian yang mengerikan, seperti insiden baru-baru ini tidak berulang.

Selain itu, lintasan berpagar di Tenom Lama yang rosak teruk setelah dirempuh oleh sebuah kenderaan beberapa bulan lalu perlu dibaiki segera bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Demikian dinyatakan Ketua Pergerakan Pemuda Parti bersatu Sabah (PBS) Melalap, Mollin Haji Morris sebagai mengulas kejadian yang mengerikan baru-baru ini apabila ramai penumpang tren komuter tercedera selepas dirempuh lori tangki minyak, dekat Petagas, minggu lalu.

Beliau menimbulkan persoalan itu bagi menyedarkan pihak tertentu, betapa pentingnya masalah kerosakan pintu lintasan di Tenom Lama diambil perhatian serius, sebelum insiden buruk berlaku.

“Jika punca kemalangan di Petagas itu disebabkan lintasan yang kurang terjaga keselamatannya, mungkin juga ada persamaannya dengan lintasan Tenom Lama yang selama ini dibimbangi para pengguna jalanraya, khususnya pemandu kenderaan kerana masalah kekeliruan,” tegas Mollin.

Kata Mollin lagi, beliau pernah terbaca laporan dalam media mengenai kerosakan pagar lintasan ini beberapa bulan yang lalu, tetapi masalahnya masih belum ditangani sehingga hari ini dan menggesa JKNS pro-aktif bagi melindungi keselamatan pengguna.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar buat sementara waktu lintasan di Tenom Lama diletakkan secara ‘manual’ dengan menempatkan kakitangan menjalankan tugas keselamatan di situ, sehingga kerja-kerja membaikpulih lintasan yang berkomputer itu pulih sepenuhnya.

Tiada ulasan: