Sabtu, 19 November 2011

KDN Kesan Pihak Daftar Pati Guna Biometrik Walau Sudah Tamat Tempoh

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan pihak-pihak tertentu yang masih mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan sistem biometrik dengan bayaran RM750 walaupun tempoh mendaftar berakhir pada 26 Ogos lepas.

Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Mahmood Adam berkata, siasatan KD Nmendapati pihak-pihak berkenaan bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk melakukan kegiatan haram itu.

"Dua syarikat pengurus sedang disiasat. Kementerian tidak menolak kemungkinan terdapat pihak dalaman juga terlibat di dalam kegiatan ini sama ada berpunca dari pegawai imigresen, syarikat pembekal sistem atau syarikat pengurus.

"Satu laporan polis telah dibuat mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan semalam dengan dipengerusikannya.

Mahmood menambah, siasatan awal yang dilakukan dengan dua syarikat dan pegawai-pegawai imigresen yang disyaki dipanggil memberikan keterangan kepada jawatankuasa siasatan itu.

Pendaftaran biometrik sebahagian daripada Program 6P yang meliputi pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pekerja asing di negara ini.

Kira-kira 2 juta PATI telah mendaftar di bawah program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, sejak dilaksanakan pada 13 Julai lepas. -BERNAMA

Tiada ulasan: