Khamis, 3 November 2011

JPAM Kelantan Tempatkan 1,000 Anggota Di Kawasan Mudah Dilanda Banjir

MSTAR ONLINE

KOTA BAHARU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan akan menempatkan 1,000 anggotanya di lokasi yang mudah dilanda bah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir besar tahun ini.

Pengarahnya Kamaruddin Hussin berkata antara kawasan terbabit ialah Rantau Panjang, Tumpat, Kota Baharu, Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai.

"Kita sediakan 26 buah kenderaan pelbagai jenis bagi memindahkan mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir," katanya kepada pemberita selepas taklimat persiapan akhir kepada anggota JPAM Kelantan, di sini, Khamis.

Selain itu katanya, JPAM Kelantan juga mempunyai 22 bot penyelamat yang sedia dihantar keluar jika banjir berlaku.

Di samping itu, JPAM Kelantan mempunyai 27,000 anggota sukarela yang sedia berkhidmat pada bila-bila masa, bagi membantu menangani bencana di Kelantan daripada segi keselamatan dan kesihatan.

Beliau berkata anggota terbabit terlatih dan mampu menjalankan tugas dengan baik dan berkesan dalam membantu pasukan keselamatan lain menghadapi sebarang bencana. -BERNAMA

Tiada ulasan: