Oleh: Masdar Wahid
PETALING JAYA : Pemuda Pakatan Rakyat akan menggunakan kaedah terbaru dalam usahanya mendekati pengundi di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 tidak lama lagi.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, antara kaedah tersebut ialah jelajah mengunakan pengangkutan awam bagi menyebarkan risalah penerangan kepada rakyat.
“Dalam Jelajah Anak Muda (JAM) Pakatan Rakyat ini, kita akan berhubungan terus dengan rakyat dengan menaiki pengangkutan awam termasuklah keretapi dan bas dalam program yang bermula 4 Disember ini.
“Selain mengedar risalah dalam jelajah itu, kita juga akan mendapatkan respon rakyat secara terus dengan fokus utama menjawab segala persoalan mengenai isu semasa yang berbangkit,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat di pejabat KEADILAN, Petaling Jaya hari ini.
Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi, Zairil Khir Johari mewakili pemuda DAP dan pimpinan pemuda Pakatan Rakyat lain turut hadir dalam sidang media berkenaan.
Menurut Shamsul, Jelajah itu akan dilancar pada 4 Disember depan di Stadium Melawati, Shah Alam serentak dengan pelancaran jentera pilihanraya Pakatan Rakyat diperingkat pusat.
“Pada malam itu juga kita akan umum maklumat mengenai JAM dari semasa ke semasa dan jelajah ini akan berterusan sehinggalah Parlimen dibubarkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap golongan pengundi muda mendapat maklumat mengenai program berkenaan secara langsung dari Pemuda Pakatan Rakyat.
“Kita sedia maklum, penerangan Pakatan Rakyat kerap digelapkan media arus perdana dan sebab itu perlunya rakyat khasnya anak muda terlibat dan tahu akan program ini.
“Isu utama ialah penerangan isu semasa yang selama ini kita diserang Umno BN di media arus perdana, namun pada masa sama menafi hak kita untuk menjawabnya di media milik kerajaan,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan