Jumaat, 4 November 2011

Isu murtad Himpun, Seksualiti Merdeka tak jejas undi Pakatan

MALAYSIA CHRONICLE


SHAH ALAM — PAS, komponen Pakatan Rakyat, yakin bahawa arah aliran sokongan kepada perikatan itu tidak akan terjejas meskipun diserang dan dilabel secara negatif ekoran dua peristiwa dalam tempoh sebulan ini — pemurtadan dan program Seksualiti Merdeka ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum semakin dekat.

Malah kata PAS, pihaknya sedar Barisan Nasional (BN) dan Umno cuba mengaitkan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S. Ambiga, yang sepatutnya merasmikan program Seksualiti Merdeka 9 November ini, dengan Pakatan Rakyat.

Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada Julai lalu dengan kehadiran sekitar 50,000 orang menuntut pembaharuan pilihan raya, mendapat sokongan Pakatan Rakyat tetapi dikecam keras oleh BN.

“Rasanya tidak sangat, kecuali mereka (BN dan Umno) dapat mempengaruhi rakyat... setakat ini tidak,” kata ahli jawatankuasa PAS pusat Khalid Samad (gambar) pada sidang media di Pejabat PAS Selangor di sini hari ini.

“Tidak wajar mengaitkan dengan kami, Pakatan Rakyat... memang di Dewan Rakyat semalam pun ada Ahli Parlimen dengan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sepatutnya tidak,” kata beliau pada sidang media di pejabat PAS Selangor di sini.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman.

Isu pemurtadan menjadi fokus agenda yang dibincangkan pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang telah diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober lalu.

Pengkritik juga mengaitkan lokasi penganjuran Himpun dengan negeri Selangor yang memerintah sejak memenangi pilihan raya umum 2008.

Agenda itu bertolak daripada isu Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor — lokasi yang didakwa wujud usaha memurtadkan umat Islam.

PAS tidak mengambil bahagian dalam Himpun atas alasan ia bukan merupakan aktiviti membabitkan parti-parti politik.

Bagaimanapun kepimpinan pusat parti Islam ini tidak membenarkan ahli-ahlinya hadir atas nama PAS.

PAS mengambil pendirian tegas membantah program Seksualiti Merdeka yang didakwa memperjuangkan hak asasi manusia bagi golongan yang berhadapan dengan identiti seksualiti bukan secara semula jadi.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Selangor berkata pihaknya memang menyokong Ambiga sebagai ketua Bersih 2.0 yang memperjuangkan isu berkaitan dangan hak asasi manusia, yang bercanggah dengan undang-undang termasuk prinsip agama, misalnya pembaharuan sistem pilihan raya.

“Ada perkara yang kami setuju dengan Datuk Ambiga, dan ada perkara yang kami tidak setuju,” tegas beliau.

Khalid yang juga Ahli Parlimen kawasan Shah Alam memberitahu bahawa beberapa pemimpin PAS telah menghubungi Ambiga untuk mendapatkan penjelasan dan memberikan pandangan parti itu.

“Saya difahamkan ada beberapa pemimpin PAS ada menghubungi dan tegur beliau walaupun ada perkara yang kami bersetuju dengan beliau dan mungkin beliau adalah pendiriannya dalam soal hak asasi manusia (selaku peguam dan bekas presiden Majlis Peguam).

“Jadi tidak wajar mengaitkan isu ini (program Seksualiti Merdeka) dengan Pakatan Rakyat dan juga hak asasi manusia,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Di Kota Baru semalam, Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sama sekali tidak menyokong malah mengecam langkah pembabitan Ambiga dalam penganjuran Seksualiti Merdeka.

“Ini tidak betul. Kita sokong Ambiga dalam soal lain tetapi dalam program ini (Seksualiti Merdeka) saya tidak sokong (Ambiga) kerana dalam soal agama, kita tidak boleh sokong perkara itu,” katanya.

Nik Aziz berkata soal kebebasan sebenarnya mempunyai had tertentu dan negara ini tidak boleh sama sekali membenar dan mengiktiraf budaya songsang diamalkan.

Mengulas lanjut tegas Khalid, isu pemurtadan yang menjadi fokus Himpun juga bukan satu perkara dan telah wujud sekian lama dan tidak wajar BN dan Umno mendakwa bahawa apabila Pakatan Rakyat memerintah agama Islam akan terhakis.

“Isu murtad bukan satu perkara yang baru berlaku, bukan benda baru,” katanya lagi.- Harakah Daily

Tiada ulasan: