Isnin, 14 November 2011

Gaji minima: MTUC terima dana buat kajian

Peruntukan sebanyak RM100,000 - RM150,000 disediakan untuk membuat kajian mengenai keupayaan dan kebolehan melaksanakan gaji minima dengan lebih meluas.



DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan dana sehingga RM150,000 kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membuat kajian berhubung pelaksanaan gaji minima dengan lebih meluas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, gaji minima yang dilaksanakan ini hanya terhad kepada kakitangan syarikat- syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

“Ini kerana bidang kuasa kerajaan negeri terhad memandangkan pelaksanaan tersebut terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri memperuntukan dana kepada MTUC di antara RM100,000 hingga RM150,000 untuk membuat kajian mengenai keupayaan dan kebolehan melaksanakan gaji minima dengan lebih meluas.

“Kita akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai hasil kajian MTUC ini untuk tujuan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan mulut Dr Nasir Hashim (Kota Damansara-PSM) berhubung pelaksanaan gaji minima.

Abdul Khalid berkata, Selangor membuka lembaran baru dengan memperkenalkan gaji minima agar rakyat negeri itu mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dan menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Jejak langkah

Sementara itu, beliau juga berharap syarikat swasta dapat mengikuti jejak langkah kerajaan negeri dalam pelaksanaan gaji minima ini.

“Kalau kajian dibuat MTUC berjaya dan keputusannya baik, kenapa tidak pihak swasta membuat perkara sama…,” katanya.

Rabu lalu, Abdul Khalid mengumumkan bahawa negeri Selangor akan melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 sebulan bagi kakitangan GLC negeri, bermula tahun 2012.

Perlaksanaan ini akan dilaksanakan bagi kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Bhd.

Manakala, bagi syarikat-syarikat yang mempunyai status kewangan yang tidak stabil, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan dana RM10 juta supaya kenaikan gaji dapat dilaksanakan.

Tiada ulasan: