Khamis, 24 November 2011

Demo Tolak 1.0 desak pihak luar tak campuri urusan UIA

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Pro-Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan menganjurkan demonstrasi Tolak 1.0 esok sebagai desakan menolak sebarang campur tangan luar terhadap hal ehwal pentadbiran pusat pengajian itu ekoran beberapa insiden sejak tiga bulan lalu termasuk membabitkan program Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Isnin lalu.

Selain itu, pergerakan pelajar tersebut juga menolak sikap tidak berprinsip pihak pentadbiran UIA dalam mempertahankan hak mahasiswa dan pusat pengajian tinggi itu sebagai sebuah institusi keilmuan.

“Pro-Mahasiswa UIA ingin mengajak dan menyeru seluruh mahasiswa dan warga Malaysia, untuk turut hadir ke demontrasi Tolak 1.0 yang akan diadakan esok,” kata pengerusinya Muhammad Hafizuddin M. Noor dalam satu kenyataan.

Demonstrasi itu akan diadakan di pekarangan Masjid UIA di kampus induk di Gombak.

Katanya, sehingga kini dalam tempoh kurang lebih 100 hari UIA di bawah pentadbiran Rektor Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin telah berlaku sekurang-kurangnya empat peristiwa hitam yang sangat mengecewakan warganya dan telah menjatuhkan serta memalukan nama baik institusi tersebut pada pandangan umum.

“Bermula dengan kes Azhar Idrus dilarang berkuliah dalam Masjid UIAM, pembatalan penyertaan Presiden SRC-IIUM sebagai panel dalam program Hujah TV 9, Prof Dr Aziz Bari digantung tugasan dan dikenakan siasatan, dan terkini program In Person With dengan (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) Datuk Saifuddin (Abdullah) dibatalkan secara ad-hoc,” katanya lagi.

Kata beliau, Pro-Mahasiswa UIA melihat dalam kejadian terbaru ini, tindakan pihak pentadbiran UIA membatalkan program secara ad-hoc Saifuddin (gambar) dengan alasan isu Akta Universiti dan Kolej Universiti belum diputuskan adalah satu tindakan yang sangat menjelekkan, tidak profesional dan telah mengundang rasa kecewa serta marah pihak penganjur, warga UIA dan rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: