Sabtu, 12 November 2011

Dakwat kekal: Perlembagaan tak perlu dipinda langsung, PSC dimaklum

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda untuk membolehkan dakwat kekal digunakan ketika pilihan raya di negara ini, kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga (gambar).

Bercakap pada sesi pendengaran awam jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC), Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata sistem itu boleh dilaksanakan dengan hanya menukar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sama sekali tidak perlu (untuk meminda Perlembagaan) ... hanya perlu tukar peraturan (SPR), bukan Perlembagaan,” katanya.

“Dan, ini boleh dilakukan mengikut Sekyen 16 Akta Pilihan Raya yang membenarkan SPR membuat peraturan, membentangkannya di Parliamen untuk diluluskan,” katanya ketika menjawab soalan seorang anggota PSC.

Terdahulu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad meminta pandangan Ambiga berhubung perkara itu termasuk kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika sistem itu diperkenalkan tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.

SPR membatalkan rancangan menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum 2008 selepas mendapat nasihat daripada segi perundangan termasuk keperluan menggubal satu undang-undang yang membenarkan seorang pengundi yang tidak mahu kuku atau jari telunjuknya ditandakan dengan dakwat, diberikan kertas undi.

Laporan Bernama Online memetik Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata beliau juga yakin sistem itu boleh dilaksanakan.

“Mungkin pandangan saya tidak tepat, namun saya mempunyai keyakinan 99.9 peratus bahawa Perlembagaan tidak perlu dipinda bagi membolehkan dakwat kekal digunakan,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum sistem itu boleh dilaksanakan.

Tiada ulasan: