Selasa, 15 November 2011

Beli kondo ketika pasaran menjunam

Kondominium mewah seperti yang dibeli NFC dijangka akan mengalami penurunan harga bermula tahun 2010 hingga beberapa tahun akan datang.



PETALING JAYA: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) telah membuat pelaburan yang salah apabila membeli sebuah kondominium berharga RM9.8 juta di One Menerung Bangsar, dekat Kuala Lumpur ketika pasaran hartanah mewah menjunam.

Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata, pasaran hartanah mewah, terutamanya kondominium mewah seperti yang dibeli NFC dijangka akan mengalami penurunan harga bermula tahun 2010 hingga beberapa tahun akan datang.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang menyifatkan tindakan NFC membeli kondominium tersebut, melalui anak syarikatnya National Meat Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC), sebagai satu langkah yang bijak.

Menurut Rafizi, statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan bahawa pada akhir 2010, terdapat sebanyak 66,328 unit kondominium mewah di seluruh Malaysia yang masih belum dijual.

Statistik terkini JPPH iaitu Laporan Status Pasaran Harta Tanah: Harta Tanah Siap Dibina Tidak Terjual Q3 2011 menunjukkan bagi suku ketiga 2011 sahaja, 20% dari kondominium mewah berharga lebih dari RM1 juta masih belum terjual walaupun telah siap dibina.

Beliau berkata, jumlah harga kondominium mewah di Malaysia yang siap dibina tetapi tidak dibeli bagi tempoh tiga bulan di antara Julai hingga September 2011 bernilai RM549 juta.

Ini menyokong laporan terbaru oleh pakar hartanah antarabangsa DTZ Research bertarikh 10 November 2011 bahawa “risiko harga menurun bagi hartanah mewah akan terus meningkat” dan “lambakan hartanah mewah akan menurunkan kadar sewa bagi pasaran jenis ini”.

Data-data ini katanya secara jelas membidas alasan yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin.

Harga turun, sewa rendah

“Jika pelaburan NMLC membeli One Menerung adalah untuk mendapat untung kerana kenaikan harga, ia sukar untuk berlaku kerana pasaran hartanah mewah sedang mengalami penurunan akibat lambakan unit-unit tidak terjual.

“Jika pelaburan NMLC bertujuan mendapatkan sewa seperti yang didakwa, sewanya tidak padan dengan penyelewengan wang rakyat kerana kadar sewa yang semakin rendah,” kata beliau.

Rafizi juga menarik perhatian dengan memberi analisa tentang prinsip tata kelola yang baik (principles of good corporate governance) berhubung dengan isu ini.

Katanya, sebarang penggunaan dana yang dipinjam (apatah lagi dana rakyat) bagi tujuan selain dari tujuan asal pinjaman dikira bertentangan dengan prinsip.

“Di dalam sesebuah entiti korporat yang baik, sebarang keputusan pelaburan akan dibuat melalui proses pemantauan yang ketat mengikut kerangka mengawal risiko (risk mitigation framework).

Instrumen kewangan mudah cair

Beliau menjelaskan bagi tujuan mendapat pulangan dari dana yang belum digunakan, entiti korporat terbesar di dunia selalunya membuat pelaburan jangka pendek dalam instrumen-instrumen kewangan mudah cair.

“Mereka akan melabur dalam pasaran mata wang (money market), pasaran ekuiti (ekuiti market) atau disimpan dalam deposit tetap jangka pendek,” jelasnya.

Tegas beliau, “bekas majikan saya (Petronas) mempunyai ratusan bilion ringgit wang simpanan yang menunggu masa untuk digunakan di dalam projek-projek pada satu-satu masa.

“Petronas tidak pula menggunakan wang ini untuk melabur dalam aset hartanah seperti yang disebut oleh Khairy Jamaluddin kerana ia satu tindakan yang tidak bijak dan melanggar prinsip tata kelola yang baik,” terang beliau.

Rafizi berkata, setelah dua minggu berdebat di media saya berpendapat sudah sampai masanya perbahasan mengenai NFC ini diadakan secara terbuka dan melibatkan orang ramai yang juga mempunyai banyak soalan.

“Saya menjemput Khairy Jamaluddin untuk berbahas mengenai isu NFC dengan saya pada bila-bila masa bermula dari hari ini dalam satu majlis terbuka yang melibatkan orang ramai.

“Ini jalan terbaik untuk kita merungkai kekusutan skandal NFC dan pada masa yang sama merintis politik baru orang muda,” ujar beliau.

Sementara itu, laporan FMT semalam menyebut kes skandal NFC akan disiasat polis dibawah Akta 613 Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah jenayah oleh perkhidmatan awam atau ejen.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan menyebut ‘barang siapa yang telah diberi amanah terhadap sesuatu harta, atau kawalan terhadap harta, dalam kapasitinya sebagai penjawat awam atau ejen telah melakukan pecah amanah jenayah mengenai harta itu hendaklah dihukum’.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun penjara dengan hukuman sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: