Jumaat, 11 November 2011

Belanjawan: Pemuda PAS cabar Satim berdebat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang telah membentangkan Belanjawan 2012 dengan tema ‘Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat’ yang cukup prihatin dan peka dengan keperluan semasa rakyat.

“Dengan Belanjawan sebanyak RM1.6 billion, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berazam meneruskan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) selain merintis perlaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada kakitangan syarikat milik Kerajaan negeri mulai tahun hadapan dan RM3 juta untuk program elaun ke nurseri,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan hasil kebijaksanaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memerintah sejak 3 tahun lalu, rakyat telah melihat bagaimana hasil mahsul negeri telah dapat “diurus” dengan baik oleh pimpinan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan berlaku pertambahan kewangan negeri Selangor dan kini dipulangkan semula kepada rakyat Selangor melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menyelar kenyataan merapu Datuk Satim Diman yang menyatakan seolah-olah Belanjawan 2012 Negeri Selangor meniru Belanjawan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

“Sedangkan Belanjawan Kerajaan Pusat secara ‘halusnya’ telah meniru Belanjawan Pakatan Rakyat di peringkat pusat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, mungkin Ketua Pembangkang Selangor sudah semakin ‘kelabu’ dengan sistem urus tadbir yang cukup baik dan efisien Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga tidak dapat mencari sudut mana untuk ‘diserang’ lagi oleh Umno BN.

Selain itu, ujarnya kenyataan Satim terhadap peruntukan RM5 juta untuk program pengukuhan demokrasi sebagai membazir juga amat dikesali.

Tambahnya, rakyat secara umumnya telah mengetahui demokrasi di dalam negara ini sudah semakin tempang dan akan semakin terhakis sekiranya Umno BN terus diberikan kuasa untuk memerintah negara ini.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini mencabar Datuk Satim Deman sebagai Ketua Pembangkang Selangor untuk berdebat dan memberikan hujah beliau terhadap kelemahan Belanjawan 2012 Negeri Selangor dan proses pendemokrasian dalam negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: