Ahad, 13 November 2011

Bekas tim presiden MIC jalani pembedahan otak

MALAYSIA KINI

Bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai hari ini untuk menjalani
pembedahan otak.

Adiknya, S. Sarojini berkata Subramaniam telah selamat menjalani pembedahan itu pagi tadi. Difahamkan beliau sedang menjalani pembedahan seterusnya.

Sarojini berkata abangnya ke Hospital Assunta di Petaling Jaya semalam selepas menghadapi masalah kesihatan sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Pantai pagi ini.

Turut hadir di hospital berkenaan ialah bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M.Saravanan.

Subramaniam, 67, ialah bekas Anggota Parlimen Segamat dari 1990 hingga 2004 dan seorang bekas Timbalan Menteri.

Beliau pernah berkhidmat di beberapa kementerian, antaranya Kementerian Pertanian, Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk G.Palanivel, yang melawat Subramaniam di Unit Rawatan Rapi (ICU), berkata beliau terkejut selepas mendengar berita tentang keadaan ahli politik veteran itu.

"Beliau masih berada di dewan pembedahan dan saya pasti tiada apa-apa yang buruk berlaku...ia akan mengambil masa untuk sembuh. Saya menemui isteri Subramaniam dan memberitahunya supaya berdoa," katanya.

"Saya fikir doktor cuba menstabilkan keadaannya," katanya.

Terdahulu itu, Samu Vellu meluangkan masa kira-kira sejam di hospital berkenaan sejak pukul 2.15 petang.

"Saya terkejut dengan keadaan Subramaniam dan berharap beliau akan pulih segera. Beliau adalah seorang insan yang baik dan kami berkawan selama 40 tahun," katanya.

Kira-kira 30 orang termasuk ahli keluarga, rakan dan pemimpin MIC sedang menunggu di luar ICU.

Subramaniam mempunyai tiga anak iaitu dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun dan seorang anak perempuan berusia 26 tahun. Bernama

Tiada ulasan: