Selasa, 22 November 2011

Bebaskan segera tahanan ISA – Pemuda Pakatan

Oleh: Masdar Wahid

PETALING JAYA: Pemuda Pakatan Rakyat mendesak semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan serta merta, kata Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi.


Beliau berkata, tangkapan terbaru membabitkan 13 individu di Sabah baru-baru ini bersifat zalim kerana tidak memberi peluang kepada mereka untuk membela diri.

“Kalaupun mereka didakwa kerana kononnya terlibat dengan keganasan, apakah tidak boleh mereka didakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat di pejabat KEADILAN, Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin, Zairil Khir Johari mewakili pemuda DAP dan pimpinan pemuda Pakatan Rakyat lain turut hadir.

Sementara itu, Shamsul menyifatkan tangkapan terbaru itu bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melakukan transformasi seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini.

Katanya, Pemuda Pakatan kesal kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sendiri mempertahan bahawa akta Tahanan Tanpa Bicara akan kekal sehingga Mac 2012.

“Ini membuktikan tiada jaminan ISA akan dimansuh sepenuhnya dan boleh jadi ia sekadar pertukaran nama namun elemen zalim yang terkandung di dalamnya dikekalkan,” ujarnya.

Semalam, Hishamuddin berkata dua akta baru bagi menggantikan ISA akan mengekalkalkan elemen tanpa bicara sekaligus bertentangan dengan kenyataan asal bosnya, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 September lalu mengumumkan ISA dimansuhkan serta-merta dan dua akta baru akan digubal bagi menggantikannya.

Pakatan sejak dulu mendesak undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara dimansuhkan kerana ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

Tiada ulasan: